Oleh Phoon Li Juan @ Roovasini
Foto Ahmad Shahiddan Saidi
BANGI, 2 Ogos 2023 – Program ASASIpintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus menjadi pilihan pelajar-pelajar pintar dan berbakat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Malaysia apabila seramai 383 pelajar baharu ditawarkan mengikuti pengajian tersebut di Pusat Genius@Pintar Negara (PGPN), di sini.
Daripada jumlah itu seramai 243 orang pelajar adalah daripada Unit Pusat Universiti (UPU), 100 pelajar daripada UKMShape dan 40 pelajar daripada Kolej Genius@Pintar.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman dalam ucapannya berkata pelajar-pelajar di PGPN perlu menggunakan peluang menimba ilmu disitu dengan sebaik mungkin selari dengan kepakaran, kemudahan serta keselesaan yang disediakan, dan terus berpeluang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sama ada di UKM atau luar UKM.
“Saya berasa bangga apabila saya berpeluang untuk berjumpa dengan ramai pelajar lepasan Program ASASIpintar UKM di universiti-universiti terkemuka di luar negara semasa lawatan kerja saya. Ini menunjukkan tahap kejayaan Pusat GENIUS@Pintar Negara dalam menghasilkan pelajar yang cemerlang,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Ikrar Pelajar Baharu Program ASASIpintar sesi 2023/2024, di sini, baru-baru ini.
Beliau menegaskan agar pemikiran dan jiwa pelajar ASASIpintar perlu sama seperti seorang mahasiswa di universiti, berbeza dengan pelajar pra-universiti yang lain.
“Tingkatkan kreativiti diri dan berusaha membentuk personaliti cemerlang terutama dari segi kemahiran sosial yang baik, keyakinan diri, berani mencuba perkara baharu dan bekerjasama dalam kumpulan agar dapat mengembangkan potensi diri menjadi graduan yang berketerampilan holistik dan berkebolehpasaran,” katanya.”
Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan berharap agar PGPN akan teruskan usaha untuk menjadi pusat yang mengumpulkan murid-murid pintar dan berbakat dari seluruh Malaysia dan memastikan anak-anak pintar ini terus terbela dan tidak tercicir dari arus pendidikan.
Sementara itu, Pengarah PGPN, Prof. Madya Dr. Rorlinda Yusof berkata program ASASIpintar UKM merupakan program pra-universiti yang dirangka khas untuk mencabar kebiasaan dan melangkaui pemikiran pelajar bagi melonjakkan potensi diri ke tahap yang maksimum.
“Program ini lain daripada yang lain, ia sememangnya mencabar dan pelajar memerlukan disiplin diri yang sangat tinggi untuk terus cemerlang di sini.
“Program ini mendalami ilmu akademik berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dan Penyelidikan (STEM). Anak-anak muda ini diberikan peluang untuk menjalankan penyelidikan dan menghasilkan penerbitan. Hasilnya pelajar kita telah berjaya menerbitkan Jurnal Q1 pada semester yang lepas,” katanya.
Beliau berkata para pelajar bukan sahaja dilatih untuk meningkatkan prestasi akademik semata-mata, tetapi sentiasa didorong untuk memfokus pada pembangunan jati diri dan sifat kepimpinan.
“Kurikulum kami turut memberi keutamaan kepada emotional brilliance atau EQ menerusi pengalaman sosial dan komunikasi interpersonal,” tambah beliau.
Prof Madya Dr. Rorlinda berkata para pendidik di PGPN memainkan peranan sebagai pemudahcara (facilitator) yang sangat komited dan sentiasa bersedia melakukan pelbagai pembaharuan selari dengan perkembangan terkini bagi memenuhi keperluan dan keunikan murid pintar dan berbakat di sini.
“Pendekatan sebegini menjadi satu keperluan bagi mengekalkan kualiti pendidikan yang tinggi di PGPN,” ujarnya
Seorang pelajar cemerlang SPM yang memperoleh 11A+, Danial Khan Syahiran Zairi memberitahu bahawa Program ASASIpintar UKM menjadi pilihan pertamanya kerana beliau ingin terus mencabar diri untuk mencapai potensi diri yang optimum.
Tambahnya lagi, beliau mendapati dirinya mempunyai banyak persamaan dengan pelajar-pelajar lain di sini, dan berasa dirinya berada di tempat yang betul.
Semua pelajar baharu ASASIpintar UKM itu melafaz ikrar di hadapan Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Kassim; TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil; Pendaftar, Dato’ Dr. Syed Kamarudin Sadakkuthulla; Pengarah PGPN, Prof. Madya Dr. Rorlinda Yusof dan Pengarah Pusat Pengurusan Akademik, Prof. Madya Dr. Irman Abdul Rahman.