Berita dan foto oleh Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
BANGI, 7 Mac 2023 – Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) mengadakan program 3R STEM@JPK yang melibatkan penyertaan daripada pelajar-pelajar pra sekolah bagi mengintegrasikan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan pendidikan al-Quran dan sunnah.
Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Madya Ts. Dr. Siti Aminah Osman, aktiviti yang dijalankan itu bertujuan untuk memupuk minat dan mencungkil bakat serta kemampuan pelajar sejak dari awal berkenaan bidang STEM.
“Generasi muda ini merupakan tunggak utama negara dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0. Jadi, kita mahu menepis tanggapan bahawa ilmu STEM ini sukar kepada kanak-kanak di awal persekolahan,” katanya.
Sementara itu, wakil dari Amazing Seed Malaysia yang menjadi rakan kerjasama program tersebut, Siti Farihan berkata pembentukan akhlak dan iman adalah teras utama pemasakan anak-anak dalam menyediakan generasi muda bagi menghadapi cabaran IR 4.0.
“Dengan pengintegrasian STEM bersama al-Quran dan sunnah, maka generasi muda ini akan lebih seimbang dalam ilmu STEM dan ilmu agama.
“Jadi, dengan adanya program-program STEM yang disulami dengan pemasakan iman seperti ini, saya berharap ia dapat melahirkan modal insan atau khalifah yang mahir dalam bidang teknologi masa hadapan yang menjadi teras dalam IR4.0,” katanya.
Beliau berkata memandangkan nisbah jurutera kepada populasi rakyat ketika ini hanya 1:170 berbanding negara maju lain, beliau berharap akan ada lebih banyak lagi program-program seperti itu diadakan bersama komuniti.
“Ini bagi memastikan tiada jurang antara universiti dan masyarakat serta untuk melahirkan lebih ramai jurutera-jurutera hebat seiring dengan negara-negara maju lain,” ujarnya.
Program 3R STEM@JPK itu telah melibatkan 100 orang pelajar pra sekolah dari tadika swasta Amazing Seed Malaysia.
Terdapat tiga modul yang telah dijalankan dalam program ini iaitu Shapes and Me bersama Dr. Haliza Othman, Inno-Math Rocket Activity bersama Dr. Noorhelyna Razali dan aktiviti Roll to Jannah bersama Dr. Mohd Haniff Osman.
Sepanjang program itu berlangsung, peserta didedahkan dengan aktiviti bentuk-bentuk asas geometri, proses reka bentuk kejuruteraan dengan menggunakan bahan terbuang seperti kertas dan botol terpakai dan pendedahan kepada kepentingan geseran dalam kehidupan.