Oleh Norzatul ‘Ezzah Hasan, Dr. Nurul Wahida Othman & Noor Hidayu Sukma Salleh
BANGI, 1 Januari 2024 – Seramai 75 pelajar sekolah rendah menyertai Kem Sehari Skuad Palma Emas 2023 yang diadakan di Hutan Pendidikan Alam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.
Kem tersebut diadakan dengan berpandukan buku Modul dan Aktiviti Kepelbagaian Biologi Ekosistem Sawit yang ditulis oleh pensyarah dan penyelidik dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST).
Program yang dianjurkan oleh Kursi Kelestarian UKM-YSD, Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina, Pusat Sistematik Serangga FST dan Institut Perubahan Iklim (IPI) itu menyokong empat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG4 melalui pendidikan berkualiti dan interaktif, SDG13 yang mendedahkan tentang perubahan iklim dan SDG15 melalui aktiviti di ladang sawit yang memfokuskan hidupan di darat. Program ini turut memperlihatkan kerjasama beberapa pihak bagi mencapai pembangunan mampan seperti yang diinginkan melalui SDG 17.
Peserta yang berumur antara 8 hingga 12 tahun ini dibantu oleh 16 orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar program Biologi tahun 3, FST. Sepanjang sehari program ini diadakan, para peserta diberi peluang untuk meneroka ladang kelapa sawit bagi mengenal kepelbagaian biodiversiti dalam ekosistem sawit.
Setiap kumpulan perlu menangkap serangga selain mengumpul spesimen flora disekitar ladang sawit tersebut. Aktiviti ini memberi peluang peluang kepada peserta untuk menerokai dan merasai pengalaman berada di ladang sawit secara terus.
Selain itu, semua peserta juga perlu menghasilkan koleksi herbarium dan melakukan pengawetan spesimen serangga yang telah dikumpul di ladang sawit. Pelbagai serangga diperolehi oleh peserta seperti kumbang, belalang, semut, anai-anai, kupu-kupu, rama-rama dan cengkerik. Para peserta juga diberi kesempatan untuk menghasilkan penanda buku menggunakan konsep tampalan flora sebagai kraf tangan untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan.
Melalui program ini para peserta turut didedahkan dengan impak perubahan iklim melalui aktiviti jejak karbon dan penilaian kitar hayat (LCA) yang telah disampaikan oleh fasilitator dari Pusat Perubahan Iklim Tropika (IKLIM), IPI. Aktiviti ini memupuk kesedaran kepada para peserta berkaitan penggunaan harian manusia yang mempengaruhi pembebasan karbon diudara seterusnya sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan suhu dunia dan perubahan iklim.
Semasa program ini juga, turut diadakan pameran berkaitan produk kelapa sawit seperti produk makanan dan bahan kitar semula dari hasil buangan sawit.
Kem Sehari Skuad Palma Emas 2023 dirasmikan oleh Penyandang Kursi Kelestarian UKM-YSD, Prof. Emeritus Datuk Dr. Azizan Baharuddin.