Oleh murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat
CHERAS, 9 Julai 2023 – Sebanyak 600 Baucar Pemeriksaan Kesihatan Percuma diberikan kepada para penduduk Parlimen Bandar Tun Razak sempena ‘Karnival Madani: Sihat dan Prihatin’ bagi menjalani pemeriksaan bermula 1 hingga 30 Ogos.
Program anjuran Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) ini merupakan penutup bagi Sambutan Jubli Perak 25 Tahun hospital itu yang disambut bermula sejak 1 Julai tahun lalu.
Naib Canselor Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata Program ini bertujuan memberi informasi kesihatan bagi meningkatkan kesedaran awam dan mendekatkan komuniti masyarakat setempat khususnya penduduk Parlimen Bandar Tun Razak.
“Program ini membantu komuniti dalam melaksanakan pemeriksaan kesihatan secara percuma adalah selari dengan tanggung jawab yang telah diberikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Program KPT Prihatin Madani di bawah Semarak Siswa Madani.
“Saya berharap agar program ini dapat membantu para penduduk di Parlimen Bandar Tun Razak untuk menikmati kemudahan rawatan kesihatan yang terbaik yang diberikan oleh HCTM,” katanya.
Tambah beliau, komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh HCTM dalam menganjurkan Karnival ini juga adalah selaras dengan slogan HCTM sendiri iaitu Better, Faster, Friendlier.
Menurutnya, HCTM akan terus membantu menjayakan agenda negara dan kerajaan untuk menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik dan mempertingkatkan kepelbagaian kaedah rawatan yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Malaysia.