64 Kakitangan UKM Naik Pangkat

Oleh Kogileswari Vellisamy
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 18 April 2023 – 64 Kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dianugerahkan kenaikan pangkat dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kenaikan Pangkat Kumpulan Staf Akademik, Pengurusan dan Profesional dan Pelaksana, hari ini.

Pengiktirafan ini dikurniakan kepada kakitangan universiti yang telah menabur khidmat bakti, prestasi dan komitmen yang tinggi sepanjang tempoh perkhidmatan.

Pendaftar, Dato’ Dr. Syed Kamarudin Haji Sadakkuthullah berkata, pihak universiti telah memperkukuhkan pelaksanaan kenaikan pangkat secara time-based (TBK), memperluas kenaikan pangkat secara fleksi, menambahbaik kenaikan pangkat secara laluan kerjaya dan yang terbaharu memperkenalkan kenaikan pangkat khas untuk penyandang dalaman (KUPD).

“Kenaikan pangkat adalah satu bentuk penghargaan serta pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan kepada kakitangan atas komitmen, prestasi dan khidmat bakti dalam memacu kecemerlangan perkhidmatan awam”, katanya.

Mengulas lanjut mengenai T.E.R.A.S UKM, beliau menitikberatkan bahawa setiap staf harus membuat rujukan serta panduan terhadap hala tuju menerusinya dalam usaha meningkatkan pencapaian ke tahap yang lebih tinggi bukan sahaja untuk majikan malah untuk diri sendiri juga.

“Salah satu kayu pengukur kemajuan kerjaya seseorang staf boleh dilihat dari sudut peluang kenaikan pangkat yang ada.

“Saya berharap agar peluang kenaikan pangkat ini digunakan sebaiknya oleh calon-calon yang berjaya untuk terus menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang di samping mempamerkan sahsiah yang terpuji dalam menjalankan tugas seharian,” katanya. Hadir sama, Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, Timbalan-timbalan Naib Canselor serta ahli pengurusan tertinggi universiti.

Leave a Reply