Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 8 Ogos 2024 – Seramai 67 atlet dari kontinjen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal berjuang di Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) ke 45 yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah.
Pro Naib Canselor Strategi dan Kewatanan, Prof. Dato` Dr. Roslee Rajikan mengucapkan setinggi penghargaan kepada para atlet universiti yang akan bertanding dalam 10 acara sukan.
Menurutnya, penyertaan Kontinjen UKM ke Kejohanan SUKUM di UMS Sabah kali ini menjadi medium untuk para atlet bersaing secara lebih kompetitif.
“Kejohanan SUKUM ini memberi peluang kepada para atlet staf untuk menunjukkan bakat dan potensi diri mereka, memperkuat semangat persaudaran, meningkatkan kebanggaan universiti serta mempromosikan gaya hidup sihat seiring peningkatan produktiviti dalam berkerja.
“Perkampungan sukan selama 10 hari di Sabah diharapkan dapat membina ukhuwah sesama rakan Institut Pendidikan Tinggi disamping meningkatkan nama universiti dengan kejayaan yang cemerlang.
“Bendera UKM yang dibawa dan dikibarkan kelak bukan sahaja melambangkan identiti dan semangat kejohanan, tetapi juga membawa amanah dan tanggungjawab kepada semua yang terlibat,” katanya.
Tambahnya, bendera UKM akan menjadi pembuka semangat kepada kita semua untuk memberikan yang terbaik, dan menjadi inspirasi kepada peserta untuk menunjukkan prestasi cemerlang di gelanggang.