UKM Tawar Lima Program Pengajian di Doha Akhir Tahun Ini

Oleh Asmahanim Amir
UKM
Photographer: Onn Mahathir

BANGI, 22 Mei 2023 -Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal menawarkan lima program pengajian secara pesisir (offshore) di Doha, Qatar pada akahir tahun ini.

Lima program yang ditawarkan itu adalah Sarjana Muda Perakaunan (Fakulti Ekonomi dan Pengurusan), Sarjana Muda Sains Aktuari (Fakulti Sains dan Teknologi), Sarjana Muda Sains Komputer, Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Pembangunan Sistem Maklumat) dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengadakan lawatan kerja ke Qatar beru-baru ini berkata, kampus cawangan UKM di Doha, Qatar adalah projek melalui kerjasama antara UKM dengan The Regional Group of Qatar, iaitu sebuah syarikat yang menguruskan bidang pembangunan hartanah, pengurusan aset, pertanian dan pelaburan saham.

The Regional Group of Qatar akan bertanggungjawab dalam pengurusan dan penyediaan kemudahan fasiliti serta infrastruktur, manakala UKM akan bertanggungjawab dalam penyediaan input akademik, termasuklah melibatkan kurikulum, pengajaran dan pembelajaran (P&P), jaminan kualiti serta pengijazahan.

“Segala kerjasama dan persetujuan yang dicapai dalam lawatan kerja itu akan disusuli dengan penelitian dan perincian yang diperlukan oleh pihak saya dan Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dato’ Seri Mohamed Khaled mengadakan lawatan kerja bagi meninjau perjalanan Kampus Cawangan UKM-Qatar yang terletak di Lusail, Qatar.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman yang turut bersama lawatan tersebut mengucapkan terima kasih kepada semua khasnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas sokongan yang diberikan kepada UKM bagi menjayakan penubuhan kampus persisir ini.

“UKM percaya menerusi penubuhan kampus pesisir ini, agenda pengantarabangsaan di UKM dapat dipertingkatkan khasnya bagi kemasukan pelajar-pelajar timur tengah ke UKM,” katanya.

Lawatan itu turut disertai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, Datin Noorazah Omar.

Delegasi dari UKM dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak; Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Ahmad Shalimin Ahmad Shafie dan Pengarah UKMShape, Prof. Datuk Dr. Muhammad Hussin. Wakil dariThe Regional Group of Qatar iaitu Nadia Tamim dan Osama Bourai telah menerangkan cadangan pelan bangunan kepada semua hadir.

Leave a Reply