Program CMGP Tingkatkan Kebolehpasaran Graduan

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BUKIT KIARA, 19 Jun 2023 – Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, hari ini, bakal meningkatkan kebolehpasaran graduan, selain dijangkan dapat mengatasi kekurangan tenaga mahir dalam pasaran modal.

Inisiatif tiga tahun itu dibiayaai oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.

Dato’ Seri Anwar berkata CMGP adalah selari dengan aspirasi madani yang memberi peluang kepada golongan muda menunjukkan kemahiran dan bakat dalam industri pasaran modal.

“Saya ucapkan tahniah kepada penganjur dan menyeru kepada anak-anak muda untuk memanfaatkan kemudahan ini dengan sebaiknya dan menjadi manusia yang memberi manfaat kepada keluarga dan masyarakat,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian CMGP, di ini, hari ini.

CMGP diterajui oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Bursa Malaysia, serta pemain industri pasaran modal yang terkemuka.

Mengenai CMGP, Anwar berkata ia merupakan platform yang menyediakan latihan kepada 9,000 bakal graduan bagi mendapatkan pendedahan pekerjaan dalam industri pasaran modal, dengan 600 orang akan terjamin mendapat pekerjaan dalam masa tiga tahun.

“Masa depan kita bergantung kepada keupayaan, kecekalan, disiplin dan semangat keghirahan anak-anak muda, dan saya yakin anak-anak muda ini dapat menggunakan peluang ini,” katanya.

Program CMGP yang mengembeling kerjasama dan kolaborasi antara institusi pasaran modal dan universiti di Malaysia, akan membantu menghasilkan graduan yang lebih bersedia untuk diterap ke dalam pasaran modal.

Ia sekaligus dapat mengurangkan defisit bakat dan mempertingkatkan kebolehpasaran graduan.  

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin menegaskan bahawa pelaburan dalam pendidikan serta pembangunan bakat merupakan agenda utama bagi SC dan pasaran modal.

“Dengan kabar peralihan bakat yang tinggi, terutamanya dalam industri seperti pasaran modal, tumpuan terhadap pembangunan bakat-bakat tersebut adalah amat penting.

“Program ini (CMGP) diperkenalkan bagi membantu mengatasi masalah ketidaksepadanan bakat (mismatch) antara graduan dan keperluan industri, yang sedang mengalami peralihan ke dunia digital.

“Oleh itu, adalah penting bantuan last mile diberikan kepada graduan untuk mengurangkan mismatch ini,” jelasnya. Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang ini turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

Leave a Reply