Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
KUALA LUMPUR, 18 Julai 2023 – World Renewable Energy Congress ke-22 (WREC), 2023 yang menghimpunkan pakar tenaga seluruh dunia telah mengiktiraf 15 orang penyelidik melalui tiga anugerah iaitu Young Researcher Travel Award, WREN Pioneer Award dan American Chemical Society (ACS) Travel Award pada malam Gala Dinner WREC 2023, di sini.
Dengan tema Transition Towards a Carbon-Free Future, kongres ini berfungsi sebagai platform penting kepada para saintis, penyelidik, penggubal dasar dan peneraju industri dari seluruh dunia berkumpul untuk bertukar idea, memupuk kerjasama dan mempercepatkan penggunaan teknologi tenaga boleh diperbaharui.
Pengerusi WREC 2023, Prof. Dato’ Ts. Dr. Kamaruzzaman Sopian berkata tema kongres tersebut dapat menyerlahkan keperluan mendesak untuk mengalihkan sistem tenaga daripada sumber intensif karbon ke arah alternatif yang lebih bersih dan lebih mampan.
“Tiga anugerah yang diberikan pada malam ini adalah pengikktirafan kepada perjalanan pakar dan penyelidik terutamanya dalam bidang tenaga,” katanya semasa menyampaikan ucapan di majlis Gala Dinner WREC 2023, di sini.
Beliau berkata WREN Pioneer Award diberikan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang bagi penyelidik tersohor dalam mempromosikan teknologi tenaga boleh diperbaharui di peringkat global.
“Pada makan malam Gala WREC ini, WREN Pioneer Award ini dianugerahkan kepada tujuh orang profesor terkemuka dari United Kingdom, Armenia, China dan Malaysia,” katanya.
Bagi Young Researcher Travel Award pula katanya, ia adalah anugerah yang ditaja oleh MyCEB iaitu memberikan anugerah perjalanan persidangan penyelidik muda yang menunjukkan kecemerlangan akademik melalui kualiti penyelidikan mereka.
“Anugerah yang merangkumi yuran pendaftaran persidangan, tambang penerbangan dan penginapan dianugerahkan kepada tujuh pemenang yang akan diumumkan pada majlis ini,” katanya.
Beliau berkata satu lagi anugerah iaitu ACS Travel Award diberikan kepada ahli ACS Malaysia Chapter bagi menghadiri WREC2023.
“Hadiah untuk kategori ini merangkumi yuran pendaftaran, penginapan, serta kos perjalanan sebanyak RM2,500 dan anugerah ini diberikan kepada seorang penyelidik sahaja,” katanya. Gala Dinner 2023 itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MYCEB, Zain Azrai Rashid, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani