Kadar Kesembuhan Penyakit Leukemia Kanak-Kanak Lebih Tinggi Berbanding Orang Dewasa

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 29 September 2023 – Kadar kesembuhan kanak-kanak yang menghidap penyakit leukemia limfoblas akut (ALL) atau kanser sel darah putih dengan risiko standard yang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  menunjukkan kadar yang tinggi iaitu mencecah 86.6 peratus.

Pakar perunding bidang  Hematologi dan Onkologi Pediatrik, Prof. Dr. Hamidah Alias berkata kadar kesembuhan untuk kanak-kanak yang menghidap ALL adalah lebih tinggi berbanding kesembuhan leukemia orang dewasa.

“Hal ini kerana lanskap kod genetik kanak-kanak adalah berlainan dengan orang dewasa dan mereka (kanak-kanak) lebih sensitif pada ubat-ubat kemoterapi dan ubat-ubat rawatan bersasar yang diberikan.

“Kemajuan protokol rawatan bersasar yang lebih diperibadikan mengambil kira faktor keunikan keanekaan genetik bagi setiap kes ALL menyumbang kepada kadar pemandirian yang tinggi dalam kalangan ALL kanak-kanak.

“Selain itu, tindak balas terhadap rawatan adalah lebih tinggi berbanding orang dewasa dan risiko untuk lali atau rentan kepada rawatan adalah lebih rendah.” katanya kepada pemberita selepas Majlis Syarahan Perdana Profesor bertajuk Leukemia Kanak-kanak: Rawatan dan Pemandirian, di sini.

Beliau berkata dalam leukemia berisiko tinggi yang dikaitkan dengan profil ekspresi genetik berbeza iaitu aneuploidi kromosom, penyusunan semula bahan baka yang menyahkawal selia onkogen (bahan genetik yang bertransformasi menjadi sel kanser bila berada dalam keadaan tertentu) atau pengekodan faktor transkripsi kimera dan mutasi titik, ia biasanya ada kadar pelalian yang tinggi dan di situlah kajian-kajian lanjut sedang giat dilakukan.

“Bukan setakat di Malaysia, malah para penyelidik perubatan di seluruh dunia mencari penyebab dengan tujuan untuk meningkatkan lagi kadar pemandirian ALL berisiko tinggi,” jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa kadar kesembuhan ALL kanak-kanak berisiko standard yang mencecah lebih 80 peratus itu juga dicatatkan oleh dua lagi hospital lain di Kuala Lumpur yang juga menyediakan rawatan leukemia kanak-kanak.

“Kejayaan rawatan leukemia kanak-kanak di Malaysia dalam dua dekad ini adalah hasil dari penambahbaikan capaian rawatan dan mutu perkhidmatan kepada rawatan yang diberikan, antaranya pelaksanaan protokol rawatan kontemporari, penggunaan stratifikasi risiko yang optimum, rejimen kemoterapi berbilang agen yang komprehensif dan penjagaan sokongan klinikal yang lebih baik.

“Di Malaysia, protokol rawatan yang berbeza digunakan oleh pusat rawatan kanser yang tersendiri untuk merawat ALL kanak-kanak. Walau bagaimanapun, kebanyakan ubat kemoterapi yang digunakan adalah serupa walaupun protokol berbeza yang digunakan oleh pusat rawatan yang berlainan,” katanya.

Prof. Dr. Hamidah yang juga merupakan Timbalan Pengarah (Perubatan), Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK) berkata secara umumnya, kanak-kanak lelaki lebih berisiko mendapat leukemia berbanding kanak-kanak perempuan.

“Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2007-2011, kanak-kanak yang berumur bawah 14 tahun yang menghidap leukemia dilaporkan berlaku sebanyak 47.1 peratus bagi lelaki dan 45.5 peratus bagi perempuan,” katanya.

Tambah beliau, kanak-kanak yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser darah juga lebih berisiko, terutamanya dalam adik-beradik kembar.

Selain itu, katanya, keadaaan genetik tertentu seperti sindrom Down dan sindrom Li-Fraumeni juga boleh meningkatkan risiko leukemia kanak-kanak.

“Walaupun faktor genetik merupakan penyebab utama kanser, perubahan kod genetik boleh terjadi dari baka atau pendedahan kepada persekitaran yang tidak sihat,” katanya.

Oleh itu beliau menasihatkan kepada ibu bapa supaya memastikan anak-anak mengamalkan gaya hidup sihat dari usia awal untuk mengurangkan risiko mendapat kanser.

“Diet anak-anak perlu berkhasiat dan kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan protein tanpa lemak. Hadkan makanan yang diproses tinggi, dan minuman tinggi gula. Pemakanan yang seimbang memberikan nutrien penting dan antioksidan yang menyokong kesihatan secara keseluruhan,” katanya.

Prof. Dr. Hamidah juga mengingatkan agar anak-anak untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal bagi membantu mengawal berat badan, sekaligus meningkatkan sistem imun, dan mengambil vaksin yang disyorkan semasa usia kanak-kanak untuk mengurangkan risiko pelbagai penyakit, termasuk leukemia.

“Selain itu, kita perlu cakna berkenaan sejarah perubatan keluarga, kerana genetik memainkan peranan yang besar dalam risiko kanser.

“Kurangkan stres berpanjangan kerana badan akan merembes hormon adrenalin dan kortisol yang boleh diaktifkan secara kronik, dan menyebabkan sistem imun yang lemah dan radang kronik. Secara tidak langsung keadaan ini boleh menyebabkan tabiat yang tidak sihat seperti kurang aktif, pemakanan tidak sihat yang mungkin secara tidak langsung  meningkatkan risiko kanser,” tambahnya.

Leave a Reply