Oleh Phoon Li Juan @ Roovasini
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 30 September 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus komited membantu para pelajar terutamanya terhadap pelajar yang kurang bernasib baik.
Dua orang pelajar daripada Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) menerusi Program Jejak Anak Watan telah diterima masuk ke UKM bagi sesi akademik 2023/2024.
SBJK merupakan sekolah model khas diperkenalkan di bawah Dasar Pendidikan Wajib yang menumpukan kepada kriteria kanak-kanak tanpa dokumen, tiada warga negara dan juga golongan rentan yang berada sekitar Chow Kit atau Kuala Lumpur untuk diberikan didikan.
Kedua-dua pelajar ini merupakan pelajar Program Zero Murid Tanpa Dokumen (Program Zamrud) di mana program ini bertujuan untuk membantu pelajar untuk mendapatkan permohonan kewarganegaraan.
Puteri Nur Arisa Mohd Noor, menzahirkan perasaan syukur dapat memasuki UKM dan berbakti semula kepada SBJK selepas tamat pengajian kelak.
“Sehingga tahun 2019 saya tidak ada peluang untuk menerima pendidikan secara formal SBJK memberi peluang untuk saya belajar dan menduduki peperiksaan seperti pelajar-pelajar lain.
“Saya percaya semua orang berhak untuk belajar dan berjaya dalam hidup. Jadi saya akan lakukan yang terbaik di UKM dan akan menabur bakti kembali ke sekolah saya,” katanya.
Puteri Nur Arissa yang akan mengikuti pengajian Pendidikan Khas di Fakulti Pendidikan bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik setelah tamat pelajaran.
Seorang lagi lepasan SBJK, Puteri Umira Abdul Razak berkata, ketiadaan kad pengenalan diri membuatkan beliau terasa ada kekurangan berbanding dengan orang lain.
“Saya sangat bersyukur dapat bersekolah macam biasa dengan adanya SBJK, mereka telah banyak membimbing saya.
“Harapan saya adalah untuk menggunakan peluang yang diberikan ini sebaik mungkin, belajar dengan rajin dan banggakan sekolah saya dan UKM,” katanya.
Beliau yang akan mengikuti pengajian Bahasa Melayu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan turut bercita-cita untuk menjadi seorang guru. Kedua pelajar ini menerima sumbangan kewangan sebanyak RM1,000 secara tunai dan Bakul Rahmah yang dilengkapi dengan barang kelengkapan asrama bernilai RM200.