Oleh Nurul Izzah Muhamad Ismail dan Dr. Velan Kunjuraman,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Era digitalisasi masa kini telah menyaksikan peralihan terhadap penggunaan ‘Artificial Intelligence’ (AI) yang mana ledakan terhadap teknologi maklumat dan komunikasi telah membawa kita beralih kepada dunia digital dalam segenap aspek kehidupan. Di Malaysia, kerajaan telah melancarkan Dasar Pendidikan Digital sebagai langkah dan usaha dalam melahirkan masyarakat yang fasih digital. Walau bagaimanapun, untuk merealisasikan agenda ini, kerajaan telah berhadapan dengan pelbagai kesukaran yang memerlukan titik penyelesaian konkrit.
Secara keseluruhan, tahap kesediaan guru adalah antara penyumbang utama kepada cabaran pendigitalan pendidikan negara. Hal ini kerana, tenaga pengajar lazimnya memerlukan masa untuk beradaptasi dengan teknologi pembelajaran secara maya. Buktinya, berdasarkan kepada situasi pandemik Covid-19 yang lalu, hampir semua guru kurang arif dalam mengaplikasikan teknologi ‘meeting’ atau perjumpaan dalam talian seperti Webex, Zoom, Google Meet dan sebagainya.
Hal ini berpunca daripada penggunaan teknologi yang dilaksanakan secara mengejut. Mellihat kepada senario ini, ia mampu mengundang implikasi yang serius buat keseluruhan warga pendidik. Oleh sebab itu, sebelum merangka apa-apa dasar atau strategi, kerajaan perlu memikirkan sebab dan akibat terkait dengan tindakan yang bakal diambil agar jalan penyelesaian dapat dicapai secara menang-menang.
Tahap kesediaan murid-muridterhadap pembelajaran digital juga perlu dibahaskan. Hal ini kerana mereka (murid) adalah kelompok sosial yang paling terkesan dengan penukaran terhadap kaedah pembelajaran baharu. Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kajian keberkesanan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian yang dilaksanakan antara Mac hingga Julai 2021, lebih 51.2 peratus daripada 52,413 murid sekolah di negara ini mengakui tertekan dengan kaedah PdPR sepanjang tempoh pandemik Covid-19 yang lalu. Statistik ini menunjukkan bahawa hampir kebanyakan murid sekolah sukar untuk menerima kaedah pembelajaran digital.
Jika keadaan ini berlarutan, maka murid-murid akan berasa jemu untuk melalui proses-proses pembelajaran dan hal ini akan mendorong kepada penurunan terhadap tahap motivasi. Maka, dalam kesibukan kerajaan untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara, janganlah dilupa kebajikan para guru dan juga murid yang sentiasa bertungkus lumus untuk mencapai standard pembelajaran yang digariskan oleh KPM.
Bertiti tolak kepada cabaran dalam memperkasakan transformasi pendidikan negara, hal ini sudah pasti didorong oleh isu kemiskinan.Apabila mewacanakan mengenai kemiskinan dalam konteks pendidikan, ia sudah tentu berkait rapat dengan keciciran dalam pembelajaran.Berdasarkan kepada realiti sosial, rata-rata kanak-kanak di negara ini tidak mendapat akses terhadap kemudahan pendidikan akibat daripada kesempitan hidup yang dilalui, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19.
Fenomena ini menjadi semakin kritikal apabila kanak-kanak tersebut tidak diberi ruang dan peluang untuk menuntut ilmu akibat daripada gelombang kemiskinan yang dihadapi. Oleh hal yang demikian, untuk mendapatkan akses pendidikan di sekolah sahaja sudah sukar apatah lagi timbul pula perubahan demi perubahan terhadap landskap pendidikan yang berkonsepkan digitalisasi. Situasi ini secara tidak langsung pasti akan memberi tekanan sosial kepada murid-murid yang miskin.
Cabaran terakhir dalam merealisasikan agenda pendigitalan pendidikan negara adalah ketaksamaan sosial yang berlaku antara bandar dan luar bandar. Secara amnya, ketaksamaan sosial yang wujud lazimnya melibatkan perbezaan yang ketara dari segi pendapatan, pekerjaan, teknologi dan juga infrastruktur antara kawasan bandar dan luar bandar. Justeru, melihat kepada situasi ini, yang menjadi penghambat kepada proses transformasi dalam sistem pendidikan ialah perbezaan terhadap teknologi dan infrastruktur di sekolah terutama yang berhampiran dengan kawasan pedalaman.
Bagi masyarakat bandar pastinya tiada masalah untuk memperoleh akses terhadap teknologi dan infrastruktur yang baik, namun demikian keadaan ini menjadi semakin kritikal apabila mereka yang berada di kawasan luar bandar tidak dapat menikmati kemudahan tersebut. Justeru, ketaksamaan sosial yang berlaku antara kawasan bandar dan luar bandar semakin memburukkan lagi proses transformasi sosial terutama dari aspek sistem pendidikan. Konklusinya, keputusan yang tepat haruslah diambil oleh KPM khususnya dalam mengatasi polemik yang menghambat kepada agenda pendigitalan pendidikan negara. Hal ini agar negara kita dapat membentuk masyarakat digital yang celik teknologi.