Hadhari UKM Lantik Felo DiRaja

BANGI, 10 Mei 2024 – Yang Mulia Tunku Datuk Nooruddin Tunku Dato’ Seri Shahabuddin menerima lantikan sebagai Felo DiRaja Institut Islam Hadhari, hari ini. Lantikan Yang Mulia Tunku sebagai Felo DiRaja adalah yang pertama di Institut Islam Hadhari.

Yang Mulia Tunku Datuk Nooruddin Tunku Dato’ Seri Shahabuddin mempunyai latar belakang pengurusan dan kepimpinan dalam perdagangan antarabangsa dan perniagaan yang memberi tumpuan kepada tadbir urus Islam.

Antara syarikat yang menjadikan beliau pakar rujuk termasuklah Avaria International FZE (UAE); Al Madina LLC (Oman); Tideway-Dredging International (Malaysia) dan lain-lain syarikat antarabangsa merentasi Asia Tenggara, UAE, Oman dan Kazakhstan.

Yang Mulia Tunku juga berpengalaman luas dalam industri Minyak, Gas, dan Tenaga. Dengan pengalaman dan kepakaran yang luas, beliau telah memegang jawatan penting dan mewakili beberapa syarikat terkemuka dalam bidang tersebut seperti Esso Malaysia Berhad – Downstream (Exxon Mobil).

Kepakaran dan kewibawaan Yang Mulia Tunku bukan sahaja dimanfaatkan dalam sektor korporat sahaja tetapi juga dalam dunia akademik. Beliau juga merupakan Pro Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dari tahun 2020 sehingga kini.

Watikah pelantikan ini disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak diiringi oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman.

Naib Canselor berharap agar lantikan ini menjadi agenda utama dalam usaha menjadikan Universiti ini terkehadapan dalam memartabatkan ilmu dan kepakaran.

“UKM amat menghargai dan mengiktiraf segala sumbangan dan kepakaran Yang Mulia Tunku dan mengharapkan agar ianya dapat dikongsikan bersama dalam memperkasakan UKM dan Institut Islam Hadhari.

“UKM amat berbesar hati dan mengalu- alukan sumbangan dan idea Yang Mulia Tunku dengan kerjasama Institut Islam Hadhari dalam mengukuhkan hubungan korporat UKM serta jangkauan universiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Semoga lantikan ini menjadi agenda utama dalam usaha menjadikan Universiti ini terkehadapan dalam memartabatkan ilmu dan kepakaran,” katanya.

Leave a Reply