AISC09 Sasar Pelajar Perlis di IPT

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

KANGAR, 4 Jun 2024 – Program AI Summer Camp 09-University Tour (AISC09) mensasarkan anak kelahiran negeri Perlis yang menuntut di Institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh Malaysia bagi meningkatkan kemahiran dan kesediaan mahasiswa selepas tamat pengajian.

AISC09 merupakan anjuran Institut Informatik Visual (IVI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE).

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, program ini terbuka kepada semua pelajar kelahiran Perlis tidak mengira bidang pengajian, yang berminat dalam ilmu AI dan teknologi.

Beliau berkata, peserta program ini bakal dipersiapkan dengan kemahiran teknologi AI terkini yang dikemaskini secara aktif dan menepati trend keperluan industri.

“Kemahiran ini semestinya menjadi kelebihan dan nilai tambah apabila para graduan khususnya mahasiswa dan mahasiswi di negeri Perlis ini melangkah keluar mencari pekerjaan.

“Pembelajaran berterusan dan pembangunan kemahiran semasa adalah sangat penting untuk melengkapkan parag raduan dengan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan yang mampu memacu pertumbuhan, kemakmuran dan kemajuan negara,” katanya.

Tambahnya, sebanyak enam modul telah dibangunkan menggunakan kepakaran pensyarah-pensyarah IVI.

“Modul ini dirancang bagi membolehkan para peserta menguasai elemen kecerdasan buatan seiring dengan keperluan pekerjaan sekarang.

“Program yang bersifat upskilling ini memudahkan pembelajaran berterusan dengan menyediakan program latihan jangka pendek dan peluang pembangunan yang mengembangkan kebolehan peserta dengan kemahiran teknologi AI.

“Manakala reskilling pula adalah pembangunan kemahiran tambahan untuk membantu peserta maju ke arah kemahiran dalam bidang AI yang lengkap untuk menghadapi dunia pekerjaan,” katanya.

AISC09 dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Empat buah universiti akan menjadi tuan rumah bagi AISC09 iaitu UKM, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis.

Leave a Reply