Program Kembara Sujanaloka diiktiraf oleh Malaysia Books of Record

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 7 Jun 2024 – Program Kembara Sujanaloka yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) bersama Kelab Pengajian Melayu, Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik telah mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Books of Record (MBoR) bagi kategori Penyertaan Terbesar dalam jelajah Kesedaran Alam Melayu.

Pengiktirafan itu diberi apabila program tersebut berjaya melengkapkan jelajahnya dalam program Jelajah Anak Watan selama satu minggu dengan berjaya mengumpulkan penyertaan sebanyak 9,321 peserta, yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pendidikan tinggi (IPT).

Dekan FSSK, Prof Dr Kadaruddin Aiyub berkata pengiktirafan itu diberikan atas kategori penyertaan terbesar dalam jelajah kesedaran alam Melayu yang dilaksanakan dalam “Jelajah Anak Watan”.

“Tahniah kepada pihak penganjur program yang berjaya menghasilkan program yang memberi impak yang sangat positif terhadap budaya kesenian negara kita.

“Saya berharap agar UKM akan sentiasa terus maju dalam meraih pelbagai kejayaan dan menyumbang kepada bangsa dan negara.

“Pihak UKM ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Malaysia Book of Records kerana memberi peluang sekali lagi kepada UKM untuk

mencatat nama dalam penghargaan Malaysia Book of Records,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Penutup Program Kembara Sujanaloka dan Pertandingan Malam Buana Wangsa Serta Penerimaan Sijil Pengiktirafan Malaysian Book of Records, di sini, baru-baru ini.

Kembara Sujanaloka terdiri daripada empat sub-program iaitu Jelajah Anak Watan, Bicara Berirama, Kesenian Kebangsaan dan Pertandingan Malam Buana Wangsa.

Pada majlis itu, wakil MBoR, Encik Edwin Yeoh Tiong Chin telah menyerahkan sijil pengiktirafan MBoR kepada Prof Dr Kadaruddin.

Menurut Prof Dr Kadaruddin, semasa berlangsungnya program Jelajah Anak Watan, ahli Jawatankuasa telah pergi ke sekolah-sekolah di seluruh daerah Hulu Langat untuk memberikan ceramah bertajuk “Kesedaran berkaitan Alam Melayu” kepada para pelajar.

“Ini juga selari dengan matlamat universiti watan ini yang amat menitikberatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan nilai perpaduan antara satu sama lain,” ujarnya.

Selain itu, katanya program Bicara Berirama, Kesenian Kebangsaan serta Pertandingan Malam Buana Wangsa turut disertai oleh pelajar sekolah menengah dan rendah serta pelajar-pelajar IPT di sekitar Lembah Klang.

Pertandingan Malam Buana Wangsa merupakan pertandingan nyanyian lagu Melayu Klasik yang diadakan secara berpasangan.

Leave a Reply