FSK Rai Rakan Industri dan Alumni

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

KUALA LUMPUR, 22 Jun 2024 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK) meraikan rakan industri dan alumni yang telah banyak membantu dan memberi sumbangan kepada fakulti.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Ts Dr Norazah Mohd Nordin berkata pihak industri dan alumni memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan keupayaan sesebuah fakulti.

“Universiti dan industri berpisah tiada. Kedua-duanya saling bekerjasama dalam memastikan perjalanan fakulti dalam penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan baik.

“Jadi program hari ini diadakan bagi memberi penghargaan kepada industri dan alumni yang telah memberi sumbangan kepada Fakulti Sains Kesihatan.

Majlis ini secara tidak langsung membolehkan industri dan alumni mengetahui perkembangan terkini Fakulti Sains Kesihatan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Apresiasi Industri dan Alumni FSK, di sini.

Majlis yang diadakan di Dewan Tingkat 1, Blok E (T1BE), fakulti tersebut diadakan serentak dengan Hari Kerjaya Fakulti Sains Kesihatan 2024 dengan penyertaan sebanyak 60 buah syarikat.

Prof Dato’ Ts Dr Norazah berkata UKM amat berbesar hati dengan segala bentuk sumbangan yang telah diberi oleh rakan jaringan industri dan alumni selama ini.

“Diharapkan jalinan kerjasama ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, Dekan FSK, Prof Dr Suzana Shahar berkata selepas 32 tahun, FSK telah melahirkan ramai generasi tersohor dan alumninya yang kini berada dalam pelbagai sektor.

“Bagi yang berkhidmat di sektor kerajaan, alumni FSK boleh berperanan mewujudkan kerjasama strategik antara sektor mereka dengan UKM dan FSK khususnya.

“Kerjasama ini meningkatkan kemampuan FSK dalam penyampaian perkhidmatan, sama ada dalam bentuk penyelidikan, khidmat kepakaran atau perkongsian maklumat bagi kepentingan bersama.

“Bagi alumni yang berkhidmat di sektor swasta pula, FSK sentiasa berharap kerjasama strategik dapat diwujudkan bagi memberi ruang latihan kepada pelajarnya menjalani latihan industri,” katanya.

Menurut beliau, FSK kini menjadi sebuah pusat kecemerlangan pendidikan serantau dalam bidang Sains Kesihatan dengan menyediakan ilmu yang berkualiti dan terkehadapan dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan serta khidmat masyarakat di samping mendukung jati diri kebangsaan.

Leave a Reply