Hari Terbuka Jabatan Pendaftar Beri Peluang Warga UKM dapat Info Terkini

Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 5 Julai 2024 – Hari Terbuka Jabatan Pendaftar yang didakan selama dua hari iaitu pada 3 dan 4 Julai 2024 telah memberi peluang kepada warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapatakan maklumat terkini berkenaan jabatan tersebut dan juga rakan industri.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof Emeritus Dato’ Dr Mohamad Abd Razak berkata penganjuran hari terbuka itu adalah penting bagi membolehkan warga UKM mendapat info terkini berkaitan tadbir urus universiti kerana peranan Jabatan Pendaftar amat penting sebagai jabatan yang bertanggungjawab menguruskan sumber manusia di UKM.

Beliau berkata agenda membangun dan memperkasa kesejahteraan warga UKM melalui kemudahan yang diberikan juga memerlukan sokongan serta bantuan pihak luar.

“Alhamdulilah pada hari ini, seperti yang dimaklumkan, terdapat beberapa agensi luar yang hadir bersama-sama memeriahkan hari terbuka ini.

“Ini bukan sahaja mengeratkan hubungan agensi luar dengan warga UKM, tetapi diharapkan maklum balas yang diberikan oleh warga dapat meningkatkan mutu perkhidmatan agensi terbabit dan memberi sokongan kepada UKM bagi meningkatkan mutu kemudahan kepada warganya,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Hari Terbuka Jabatan Pendaftar, di sini.

Beliau yakin kualiti kemudahan yang diberikan oleh Jabatan Pendaftar dan agensi luar itu dapat mengekalkan bakat warga UKM untuk kekal setia di UKM.

“Pengekalan bakat ini menjadi salah satu aktiviti utama dalam pengurusan sumber manusia strategik bagi memastikan organisasi terus kekal berdaya saing dalam mendepani era globalisasi dan revolusi industri masa kini,” tambah beliau.

Sementara itu, Tuan Haji Zanudin Mohd Daud, yang menjalankan fungsi Pendaftar UKM berkata jabatan itu sentiasa memberi keutamaan dan perhatian terhadap kualiti dan kecemerlangan tadbir urus yang dapat memberi kepuasan hati kepada pelanggan.

“Kami sentiasa memastikan proses kerja yang dilaksanakan adalah jelas dan berstruktur dengan membuat penambahbaikan secara berterusan untuk memastikan tiada aduan atau mengurangkan aduan yang berulang,” katanya.

Hari terbuka Jabatan Pendaftar diadakan untuk memberi penerangan berkaitan Bahagian dan Unit Jabatan Pendaftar kepada warga UKM secara lebih dekat.

Ini membolekan Jabatan Pendaftar mendapatkan maklum balas dari warga UKM berkenaan perkhidmatan yang disediakan dan sekaligus dapat meningkatkan hubungan dua hala antara Jabatan Pendaftar dan warga UKM keseluruhannya.

Program dua hari itu bukan sahaja untuk Warga UKM mendapatkan maklumat kemudahan yang diberikan Jabatan Pendaftar, malah menjadi Pusat Sehenti (One Stop Centre) jika terdapat isu yang ingin dibangkitkan kerana semua Bahagian dalam Jabatan Pendaftar dan wakil agensi luar ada bersama pada hari ini.

Antara isu-isu yang sentiasa menjadi keutamaan UKM adalah agenda pengurusan dan pembangunan bakat, kualiti perkhidmatan setiap kemudahan, keselamatan dan kemudahan kesihatan yang diberikan kepada Warga UKM.

Leave a Reply