Kursi Kelestarian UKM-YSD Beri Pendidikan Komuniti, Anjur Bengkel Kehidupan Lestari

Oleh Norsyahira Saffiee
Foto oleh UKM-YSD

KLANG, 12 Julai 2024 – Bagi memberi kesedaran yang lebih mendalam berkenaan kelestarian alam, Kursi Kelestarian UKM-YSD, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sime Darby Property telah mengadakan beberapa program kepada penduduk Bandar Bukit Raja (BBR), Klang.

Program-program itu adalah Program Pertanian Bandar dan tiga siri Bengkel Kehidupan Lestari iaitu siri satu bertemakan Kelebihan Pertanian Bandar untuk Kesihatan Diri, yang menekankan tentang kepentingan gaya pemakanan sihat dan pertanian bandar lestari.

Siri dua pula iaitu Pengurusan Sisa Isi Rumah Organik pula memfokuskan kepada pengurusan sisa organik rumah secara mudah. Bengkel itu dijalankan dengan perkongsian topik-topik menarik seperti teknik Pengasingan Sisa Mudah, Kitar Semula Sisa Makanan Secara Teknologi Biogas dan Black Soldier Fly (BSF) serta demonstrasi penghasilan Effective Microorganism (EM) untuk manfaat hasil pertanian daripada sisa buahan di rumah.

Dalam siri ini, penduduk BBR telah mengumpul minyak masak terpakai untuk dikitar semula. Manakala siri tiga iaitu Kitar Semula Sisa Isi Rumah Bukan Organik dengan tema  Potensi Kitar Semula di Rumah, Guna Semula dan Kitar Semula Plastik, serta Teknologi Pencetakan 3D telah memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari cara kitar semula botol plastik dan baju terpakai secara kreatif sebagai inisiatif pengurusan barangan terpakai yang lebih baik di rumah.

Pada bengkel ketiga ini, sebanyak 957.5 kilogram minyak masak terpakai, kotak, besi, plastik, barangan elektronik  telah berjaya dikumpulkan.

Pengurus Kursi Kelestarian UKM-YSD merangkap Pengerusi Program, Dr Peer Mohamed berkata bengkel itu menjadi bukti komitmen UKM  dalam menjadi agen untuk mempromosikan amalan kelestarian kepada masyarakat, sekaligus mendokong aspirasi kelestarian UKM dalam mencapai matlamat agenda Sustainable Development Goals 2030di Malaysia.

Bengkel yang diadakan ini telah berjaya mengumpulkan hampir 200 orang peserta daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang sepanjang program ini berlangsung.

Program Pertanian Bandar pula telah membawa peserta untuk menanam pelbagai jenis sayuran termasuk tebu, terung,tomato, dan bunga kantan telah ditanam dan hasil tanaman tersebut dituai dan diagihkan kepada penduduk BBR secara percuma.

Leave a Reply