UKM dan Mirxes Jalin Kerjasama Bangunkan Ujian Pengesanan Awal Kanser Kolorektal di Malaysia

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim dan Izwan Azman

KUALA LUMPUR, 17 Julai 2024 — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Mirxes, sebuah syarikat teknologi RNA yang berpangkalan di Singapura. Kerjasama ini bertujuan untuk membangunkan ujian pengesanan awal kanser kolorektal berasaskan darah di Malaysia. Majlis pertukaran MoU ini disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang di National Bioeconomy Showcase 2024 (NBiO Showcase 2024).

Kanser kolorektal adalah kanser yang paling lazim dalam kalangan lelaki Malaysia dan kanser kedua paling umum dalam kalangan wanita. Kanser ini juga merupakan punca utama ketiga kematian akibat kanser di Malaysia. Ujian saringan yang disyorkan pada masa ini iaitu, immunochemical Faecal Occult Blood Test (iFOBT) mempunyai had batasan. Ia mengesan darah dalam najis, tetapi kepekaannya terhadap kanser kolorektal pada peringkat awal adalah rendah. Justeru, ujian berasaskan darah akan meningkatkan saringan dan pengesanan awal kanser kolorektal di Malaysia, menjadikannya lebih tepat, mudah dan mudah diakses.

Kerjasama ini dipacu oleh kepakaran UMBI dalam penyelidikan kanser dan biologi molekul, serta gandingan teknologi miRNA Mirxes dan pengalamannya dalam pembangunan dan pengkomersilan pengesanan awal kanser. Ia juga akan menggunakan spesimen daripada UMBI dan biobank The Malaysian Cohort — biobank terbesar di Asia Tenggara — untuk mengenal pasti biopenanda bagi ujian pengesanan awal kanser kolorektal yang tepat dan sensitif.

Ujian pengesanan awal kanser meningkatkan kejayaan rawatan dan kadar kelangsungan hidup pesakit, sekaligus membawa kepada peningkatan kesihatan dan ekonomi negara. Kerjasama antara UKM dan Mirxes ini juga adalah melebihi fokus semasa pada kanser kolorektal. MoU ini juga mempunyai potensi pembangunan dan pengkomersilan ujian pengesanan awal kanser berasaskan darah buatan Malaysia yang lebih luas seperti kanser perut dan paru-paru. Ujian ini berpotensi untuk menjana hasil yang besar, dengan anggaran mencapai RM400 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

MoU ini juga merangkumi program pertukaran kakitangan dan latihan untuk pemindahan pengetahuan antara UKM dan Mirxes. Ia juga melibatkan penubuhan makmal bersama untuk penyelidikan translasi dan ujian klinikal.

“Kerjasama ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha kami untuk meningkatkan pengesanan dan rawatan kanser di Malaysia. Dengan menggabungkan kepakaran penyelidikan kami dengan teknologi inovatif Mirxes, kami bersedia untuk membuat kemajuan besar dalam memerangi kanser kolorektal dengan membangunkan kaedah saringan yang lebih berkesan dan mesra pesakit untuk pengesanan awal, sekaligus berpotensi menyelamatkan banyak nyawa. Kerjasama ini bukan sahaja menyokong misi kami untuk meningkatkan kesihatan awam tetapi juga memperkukuh usaha kami dalam memerangi kanser kolorektal,” kata Profesor Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Felo Penyelidik Kanan UMBI dan juga ketua projek.

“Rakan kongsi tempatan yang kuat dan sehaluan adalah penting untuk pelaksanaan teknologi miRNA kami dan pengkomersilan ujian saringan kanser,” kata Dr. Zhou Lihan, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Mirxes. “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan UKM. Inisiatif ini membuka mata kami mengenai keperluan kritikal yang tidak dipenuhi dalam saringan kanser di Malaysia dan akses kepada kohort pesakit yang berharga untuk pembangunan dan pengesahan ujian. Malaysia adalah pasaran utama bagi Mirxes, dan kami komited untuk membangunkan bersama dan menjadikan portfolio ujian pengesanan awal kanser berasaskan darah kami dapat diakses, bermula dengan kanser kolorektal.”

Leave a Reply