UKM Lancar Perkhidmatan SIHAT@UKM, Tingkat Kesihatan Masyarakat

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

KUALA LUMPUR, 26 Julai 2024 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan perkhidmatan baharu SIHAT@UKM bagi membantu meningkatkan tahap kesihatan masyarakat.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata kemudahan kesihatan itu iaitu perkhidmatan klinik bersepadu yang melibatkan klinik psikologi, audiologi, pertuturan, cara kerja, optometri, fisioterapi, diet dan pengimejan diagnostik.

“Ini termasuk fasiliti baharu di Klinik Psikologi Klinikal dan Kaunseling (KPKK), Klinik Audiologi dan Mobile Audiometric Booth (Kemudahan Pemeriksaan Pendengaran),” katanya.

Beliau berkata kSIHAT@UKM menyediakan perkhidmatan kesihatan lebih komprehensif kepada komuniti dengan menyediakan perkhidmatan mobile (bergerak) kepada masyarakat.

“Program ini adalah usaha mendekatkan agensi pengajian tinggi dengan komuniti. Kita buat klinik bergerak, untuk ke beberapa kawasan komuniti. Yang menariknya adalah kewujudan sebuah klinik bergerak audiologi untuk mengesan masalah pendengaran dalam kalangan komuniti. Mungkin tidak ramai wujudkan program sebegini,” katanya kepada media semasa Majlis Pelancaran Perkhidmatan SIHAT@UKM di sini, semalam.

Selain itu, SIHAT@UKM turut memperkenalkan perkhidmatan klinik satelit bagi melebarkan capaian perkhidmatan kesihatan di luar kampus UKM.

Kata Datuk Ts Mustapha, KPT akan terus melakukan pelbagai program seperti ini secara serentak supaya tiada jurang di antara komuniti dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT).

“Kita mahu pelajar didedahkan dengan program yang diadakan supaya mereka ada semangat kesukarelawanan selain dapat membina jati diri dan dapat menanamkan sifat ehsan kepada masyarakat di luar sana,” katanya.

Dalam pada itu, majlis ini juga turut menyaksikan pertukaran surat niat (LOI) di antara FSK dan IHH Healthcare Malaysia Sdn Bhd untuk penubuhan Dementia Wellness Centre.

Pusat ini menyediakan sokongan dan perkhidmatan kepada individu berdepan masalah demensia serta memberi bantuan kepada keluarga dan penjaga.

Sementara itu, pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara FSK dan Hospital Islam Az Zahrah juga turut diadakan dalam usaha mengukuhkan kerjasama strategik kepakaran dan fasiliti.

Hadir sama ke majlis ini ialah Ahli Lembaga Pengarah UKM, Prof Dr Bariah Mohd Ali, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor, dan Dekan FSK, Prof Dr Suzana Shahar. Habis.

Leave a Reply