Penjawat awam perlu terus beri khidmat secara profesional dan berintegriti – KSN

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim & Izwan Azman

BANGI, 31 Julai 2024 – Semua penjawat awam diingatkan untuk terus memberikan perkhidmatan dengan penuh profesional dan berintegriti terutama sekali dalam era pascanormal yang mencabar dan penuh ketidaktentuan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam ucapannya sempena Majlis Penghargaan Anugerah Perkhidmatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata usaha berterusan perlu digerakkan secara konsisten untuk memaju dan membangunkan negara dengan berpegang teguh kepada ikrar profesionalisme perkhidmatan awam demi menjamin penyampaian perkhidmatan terbaik.

Beliau yang juga merupakan Pro Canselor UKM berpesan kepada warga universiti tersebut agar sentiasa melaksanakan penambahbaikan sama ada dari segi sistem, peraturan, proses kerja, serta penghasilannya agar ia benar-benar memberi manfaat kepada universiti dan masyarakat.

“Universiti mempunyai peranan yang sangat kritikal dan penting dalam usaha memastikan segala perancangan agenda kerajaan dapat direalisasikan dengan lebih berkesan dan pantas.

“Melalui proses pengajian di universiti, bakat-bakat terbaik negara dilahirkan dengan prinsip dan nilai kebangsaan yang teguh,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 724 penerima Anugerah Perkhidmatan diraikan bagi menghargai jasa dan bakti mereka sepanjang berkhidmat di universiti tersebut.

Anugerah ini merangkumi Anugerah Perkhidmatan 30 tahun, Anugerah Perkhidmatan 20 tahun dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2023.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata anugerah perkhidmatan itu bukanlah satu pengukur pencapaian kecemerlangan yang tertinggi kerana masih banyak yang boleh disumbangkan untuk universiti ini.

“Masih banyak yang boleh disumbang seperti idea bernas yang boleh dikupas dan khidmat bakti yang boleh dicurahkan demi kecemerlangan universiti dan masyarakat.

“Sifat inginkan kecemerlangan perlu hadir dalam diri dan jiwa setiap individu. Jadikan penganugerahan ini sebagai satu cabaran dan inspirasi kepada semua warga UKM dalam usaha mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan masing-masing,” katanya.

Beliau mengingatkan kepada semua penerima agar menjadi seperti gula, walaupun telah larut dan tidak lagi wujud tapi kemanisannya tetap dapat dirasai.

“Tinggalkanlah legasi dengan memberikan perkhidmatan terbaik walau di mana sahaja anda berkhidmat. Sebagai majikan, pengurusan UKM telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin kecemerlangan modal insan dan kesejahteraan semua warga UKM,” katanya.

Majlis pada petang semalam juga turut meraikan orang staf istimewa Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai penerima APC iaitu Mohd Redha Izwan Adnan.

Menurut Mohd Ekhwan, penerima OKU ini telah memperlihatkan semangat juang dan komitmen yang luar biasa dalam melaksanakan tugas dan membuktikan bahawa keterbatasan fizikal tidak pernah menjadi penghalang untuk mencapai kecemerlangan dalam ekosistem mesra OKU yang disediakan di UKM.

Tahun ini juga mencatat rekod peribadi buat salah seorang penerima yang menerima APC buat kali kelima sepanjang perkhidmatan, iaitu Prof Dr Siti Rozaimah Sheikh Abdullah.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato’ Seri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz dan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato Dr. Mohamad Abd. Razak.

Leave a Reply