IMAC 11 Jadi Platform Perkongsian Pengurusan Perakaunan

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

MELAKA, 31 Julai 2024 – Persidangan Antarabangsa Pengurusan dan Perakaunan Ke-11 (IMAC 11) yang menghimpunkan peserta dari  lapan negara iaitu China, United Kingdom, Nigeria, Indonesia, Taiwan, Arab Saudi, Iran dan Malaysia menjadi platform akademia dan industri berkumpul, bertukar idea, dan berkongsi kepakaran berkenaan pengrusuan perakaunan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata tema persidangan iaitu Transforming Business for a Responsive and Responsible Future adalah selari dengan visi Melaka untuk menjadi sebuah bandar yang terus berkembang dan berusaha untuk mengimbangi warisan dengan pemodenan.

Katanya, kerajaan Negeri Melaka telah menyelidik teknologi inovasi serta kemampanan amalan kepimpinan beretika yang merupakan bidang penting  dalam membentuk masa depan perniagaan dan perakaunan.

“Sejak Januari 2024, Kerajaan Negeri Melaka telah mengambil sikap progresif dalam memberi tumpuan untuk meningkatkan prestasi perniagaan GLC dan syarikat subsidiari Kerajaan Negeri.

“Kami mempunyai 13 agensi, 67 syarikat subsidiari, 4 CLBG dan 10 syarikat bersekutu. Keupayaan syarikat-syarikat ini untuk kekal berdaya saing dan menjana keuntungan yang besar adalah penting, kerana mereka mesti mampu menyumbang semula kepada Kerajaan Negeri dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Makan Malam IMAC 11 di Courtyard by Merriot, Melaka, baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Dato’ Gs TS Dr Mohd Ekhwan Toriman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri Melaka kerana memberikan sokongan konsisten dan penyertaan aktif dalam persidangan ini selain turut mempromosikan kecemerlangan akademik dan inovasi di Melaka.

“Sepanjang persidangan ini, kita telah meneroka tema  Transforming Business for a Responsive and Responsible Future. Kita juga telah berbincang, menyelidik dan berkongsi inovasi terkini dalam teknologi, strategi perniagaan mesra alam dan kepimpinan berprinsip.

“Perbincangan ini telah mengukuhkan dedikasi kita untuk bukan sahaja memajukan bidang masing-masing, tetapi juga memastikan kemajuan dan memberi kesan positif kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Terdahulu, IMAC 11telah dirasmikan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Melaka, Datuk Haji Rais Datuk Wira Yasin.

Majlis perasmian IMAC 11 turut menyaksikan Pengarah MINDA-UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali dan Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kepimpinan Wanita (WLF), Datuk Dr. Hafsah Hashim menyampaikan ucaptama kepada peserta persidangan.

Leave a Reply