Sambutan Bulan Kemerdekaan UKM disambut Meriah

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 2 Ogos 2024 – Warga Universiti Kabangsaan Malaysia (UKM) menyambut bulan kemerdekaan dengan suasana meriah di Panggung Seni dengan busana pelbagai warga yang bercirikan kebangsaan.

Bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, sambutan ini diserikan lagi dengan kehadiran Naib Canselor, Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Hj Toriman bersama pengurusan tertinggi UKM.

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar warga UKM mengambil peluang dan ruang untuk mendalami erti sebenar kemerdekaan agar semangat patriotisme dan cintakan tanah air dapat disemarakkan.

“Pastinya kita akan sentiasa menghargai pengorbanan dan perjuangan para pejuang dan pengasas negara yang telah menumpahkan seluruh kesetiaan, darah dan air mata untuk mendirikan Malaysia pada hari ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat UKM 2024, hari ini.

Beliau berharap agar warga kampus akan terus mengukuhkan ikatan persaudaraan yang mantap dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Persaudaraan dan perpaduan ini juga perlu disemai sentiasa, demi memastikan semangat ini dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama barisan pengurusan utama UKM telah meletakkan Jalur Gemilang pada kenderaan yang melalui bangunan Canselori sebagai simbolik sambutan Bulan Kemerdekaan.

Leave a Reply