UKM Buka Laluan Kepada Pegawai AGC Sambung Belajar

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

BANGI, 2 Ogos 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Undang-Undang (FUU) membuka peluang kepada pegawai dari Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, seramai 20 orang pegawai AGC akan menyambung pengajian di Program Sarjana Undang-Undang (LLM) bermula Oktober ini.

”Pembentukan program ini adalah hasil kerjasama merorandum persefahaman (MoU) antara FUU dan AGC yang merupakan inisiatif bersama dalam membantu memperkukuhkan lagi governan sistem perundangan di Malaysia melalui kepakaran dari FUU.

”FUU sehingga kini telah memainkan peranan penting dalam pembangunan ilmu undang-undang, pembentukan professional undang-undang masa hadapan, serta penyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara secara keseluruhannya.

“Justeru, dengan kerjasama ini, saya yakin bahawa fakulti ini akan memberi impak yang positif dalam memperkukuhkan kecekapan dan keberkesanan sistem keadilan negara serta memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Tambahnya, kerjasama ini akan membuka lebih banyak pintu kepada pelbagai peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan, pendidikan, dan pengembangan professionalisme.

”UKM percaya bahawa pengalaman yang diperoleh akan memperkayakan lagi pengetahuan dan kemahiran warga FUU melalui perspektif yang lebih luas mengenai peranan mereka sebagai agen perubahan dalam masyarakat.

”Hal ini juga membolehkan UKM menjalankan proses pendidikan perundangan berkualiti, dan menyokong penyelidikan dan inovasi tanpa bergantung pada sumber pendanaan kerajaan,” katanya.

Leave a Reply