FKAB Sambut Ulang Tahun ke-40

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 23 Ogos 2024 – Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyambut ulang tahun ke-40 dengan meraikan kecemerlangan dalam bidang akademik serta jaringan industri dan masyarakat.

Bertemakan ‘Menang di Mata Dunia Menang Di Hati Masyarakat’, sambutan ini turut menyantuni mantan dekan, alumni, panel penasihat industri, profesor emeritus dan profesor kehormat FKAB.

Menurut dekan FKAB, Prof. Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab. Rahman, fakulti yang bermula dengan dua jabatan kecil ini telah mencapai tahap yang membanggakan dengan pencapaian cemerlang dalam akademik dan penghasilan graduan berkualiti.

“Perkembangan ini berlangsung secara berperingkat dan meliputi aspek-aspek fizikal dan juga fizikal seperti prasarana, program pengajian dan juga kualiti pendidikan dan penyelidikan.

“Pengisian program yang telah dirancang sepanjang sambutan ini benar-benar memberikan kelebihan kepada warga terutamanya di dalam membangunkan skil skil kemahiran insaniah, kemahiran merancang, berkomunikasi, kepimpinan secara holistik.

“Kemahiran ini seterusnya melahirkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi dan seterusnya menaikkan nama UKM di reputasi terbaik,” katanya.

Majlis ini disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak.

Beliau berkata, warga FKAB bukan sahaja disanjung dan dirujuk di dalam negara tetapi juga mencapai kejayaan cemerlang diperingkat antarabangsa dalam bidang kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan kimia, kejuruteraan elektrik dan elektronik, pendidikan kejuruteraan dan seni bina.

“Ramai alumni FKAB terus memainkan peranan dalam kemajuan negara dan menjadi peneraju utama di pelbagai sektor awam, korporat dan swasta.

“Kegemilangan alumni sangat penting dalam membawa imej kepada kejayaan sesebuah universiti. Seharusnya hubungan alumni dan universiti terus diperkukuhkan dengan penganjuran pelbagai aktiviti untuk pembangunan sahsiah mahasiswa, kurikulum akademik dan kebolehpasaran graduan,” katanya.

Leave a Reply