UKM Terima 6,718 Pelajar Baharu Sesi Akademik 2024/2025

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 28 September 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima seramai 6,718pelajar baharu bagi sesi akademik 2024/2025 bagi semua program pengajian. Jumlah ini termasuk pelajar ambilan semua kategori arus perdana dan ambilan pelajar tempatan dan antarabangsa melalui Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape).

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata UKM menerima sebanyak 86,364 permohonan pada tahun ini.

“Daripada 6,718pelajar baharu yang mendaftar, seramai 1,803 pelajar kemasukan baharu ke UKM Sesi Akademik 2024/2025 adalah daripada keluarga B40 iaitu lebih 40 peratus dari jumlah ambilan keseluruhan.

“Manakala seramai 303 pelajar adalah daripada keluarga berpendapatan B10 iaitu kurang RM1,000 sebulan.

“Pelajar-pelajar ini menerima pelbagai bentuk bantuan yang disediakan termasuk bantuan yuran kemasukan, bantuan zakat dan kemudahan kolej khusus kepada pelajar asnaf secara percuma sepanjang semester,” katanya.

Selain itu, UKM juga menerima pengambilan pelajar baharu Orang Asli seramai lapan orang dan orang kurang upaya (OKU) iaitu seramai sembilan orang.

“Kita santuni setiap kondisi pelajar dengan menyediakan kemudahan penginapan dan bantuan kebajikan yang bersesuaian bagi memberi keselesaan kepada mereka,” jelasnya.

Lebih menarik lagi, beliau memaklumkan bahawa pada kemasukan sesi akademik 2024/2025 ini, UKM menerima lima pasangan kembar, tujuh pasangan adik beradik dan 20 pelajar saluran khas atlet Unit Pusat Universiti (UPU).

Pelajar baharu akan menjalani program suai kenal iaitu Minggu Apresiasi Watan (MAW) bermula hari ini sehingga Rabu, 2 Oktober selama lima hari.

“Dengan tema ‘Ilmu, Mutu dan Budi’, MAW akan memberi pendedahan dan pengisian yang padat kepada pelajar baharu seperti, amanat Naib Canselor, sesi bersama alumni, pengenalan kepada aktiviti kampus, dan interaksi dengan fakulti, kolej serta Pusat Tanggungjawab universiti.

“Pada tahun ini juga, MAW menampilkan In Person with Doc Zam Tips and Tricks for Freshies (Ramah Mesra bersama YBM Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir Interaksi bersama Doc Zam: “Pesanan buat Warga Watan Baharu”) pada hari kedua,” katanya.

Menurut beliau, sesi pendaftaran pagi melibatkan pelajar dari negeri Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sementara itu, pelajar dari Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Selangor, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan mendaftar pada sesi petang di kolej masing-masing,” katanya semasa Sidang Media Pendaftaran Pelajar Baharu, di sini, hari ini.

Leave a Reply