“In Person With Doc Zam” Wujudkan Interaksi Lebih Dekat antara Menteri dengan Mahasiswa

Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 29 September 2024 – Program In Person With Doc Zam yang julung kali diadakan menjadi platform kepada lebih 5,000 mahasiswa baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk bertemu dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir secara lebih dekat.

Program yang diadakan oleh UKM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu bertujuan memperkukuhkan hubungan antara mahasiswa dan pihak kementerian serta memberikan ruang bagi pelajar baharu untuk berinteraksi secara langsung dengan menteri.

Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry berkata program tersebut  menyediakan peluang kepada pelajar untuk berhubung dengan pihak universiti dan kementerian dalam suasana yang lebih santai dan interaktif.

“Walaupun sesi suai kenal sudah lama dilaksanakan sebelum ini, pendekatan yang lebih terbuka dan mesra sebegini perlu diterapkan agar pelajar dapat berkomunikasi dengan lebih bebas dan mudah.

“Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar baharu untuk berinteraksi bukan sahaja sesama mereka, tetapi juga dengan pihak universiti dan kementerian.

“Saya percaya bahawa dengan berjumpa dan berkomunikasi secara langsung, kita dapat memahami lebih mendalam isu-isu yang dihadapi oleh mereka dan bagaimana kita dapat membantu mereka,” kata beliau kepada media yang hadir.

Program “In Person With Doc Zam” juga disiarkan secara langsung ke seluruh Universiti Awam (UA) tempatan, membolehkan lebih ramai pelajar di luar sana turut mengambil manfaat dalam sesi perkongsian ini.

Melalui pendekatan ini, beliau berharap agar program itu dapat memperkukuh lagi hubungan antara kerajaan, universiti, dan mahasiswa serta memastikan suara pelajar didengar dan diberi perhatian sewajarnya.

“Kita akan pergi ke beberapa universiti awam lagi dalam masa terdekat ini, bagi memastikan setiap mahasiswa baharu berpeluang mendapatkan maklumat dan mendengar pandangan langsung daripada pihak kementerian,” tambah beliau.

In Person With Doc Zam merupakan sebahagian daripada usaha beliau untuk mencipta suasana pembelajaran yang lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan pelajar di seluruh negara.

Pada majlis tersebut beliau telah turut melancarkan aplikasi pintar, UKM Siswa, yang dibangunkan untuk memudahkan segala urusan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian di UKM.

Aplikasi tersebut membolehkan pelajar mengakses keseluruhan sistem yang berkaitan mahasiswa seperti maklumat akademik, jadual kuliah dan peperiksaaan, iSTAR, eMerit, kewangan pelajar dan maklumat bantuan kebajikan seperti ePrihatin, haloKaunselor serta bantuan sara hidup siswa, termasuklah pengumuman pelbagai maklumat yang terkini.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak; serta Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman.

Leave a Reply