Anjung Digital Smart Selangor UKM – One Stop Centre Keusahawanan Digital

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 10 Oktober 2024 – Anjung Digital Smart Selangor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang merupakan sebuah dewan kuliah di Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) telah diubah suai menjadi sebuah dewan berteknologi dan inovasi bagi memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0.

Pengubahsuaian yang ditaja oleh Kerajaan Negeri Selangor itu bakal menjadi hub keusahawanan digital Selangor dalam melahirkan usahawan-usahawan metropolitan.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Negeri Selangor menerusi anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu SSDU Innovations Sdn Bhd berhasrat agar Anjung Digital Smart Selangor UKM ini menjadi one-stop centre yang akan mengetengahkan pakar bidang keusahawanan kecil dan sederhana (SME) dalam bidang AI (artificial intelligent) dan transformasi digital di samping memudahkan pertemuan industri, komuniti dan akademia.

“Sebagai sebuah negeri maju, Selangor telah mengorak langkah ke arah smart city dan juga e-commerce atau digital commerce. Jadi, kerjasama antara universiti dan kerajaan negeri tidak boleh dipisahkan,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Perasmian Dewan Anjung Digital Smart Selangor UKM, di sini, hari ini.

Beliau berkata selaras dengan kecemerlangan FTSM dalam bidang AI dan keselamatan siber, pelbagai programtelah diadakan di anjung tersebut sejak beroperasi pada tahun 2021, iaitu lebih 200 program yang berteraskan teknologi digital, komuniti setempat, percambahan inovasi digital dan asas usahawan bersama industri.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil berkata pembinaan Anjung Digital Smart Selangor UKM melambangkan bukan sahaja sokongan padu daripada pihak kerajaan negeri, tetapi juga komitmen UKM dalam memperkukuhkan kedudukan kita sebagai sebuah universiti yang terus berdaya saing di peringkat nasional dan global.

“Dewan ini simbol kepada kerjasama yang erat antara institusi pendidikan tinggi dan pihak kerajaan dalam memajukan pendidikan dan inovasi di Malaysia. Semoga kerjasama ini dapat membuahkan hasil kepada semua lapisan masyarakat,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Dewan Anjung Digital Smart Selangor UKM, di sini, hari ini.

Pada majlis itu juga turut diadakan sesi pertukaran dokumen Perjanjian (MoA) antara UKM dan SSDU Innovation Sdn. Bhd. Yang menjalin kerjasama bagi menjadikan Anjung Digital Smart Selangor UKMsebagau sebuah pusat pembangunan program-program berteraskan teknologi dan inovasi seperti Internet of Things (IoT), Cloud Computing dan Accelerator.

Perjanjian ini dimeterai bertujuan untuk membantu dan menyokong antara satu sama lain (UKM dan SSDU) dalam mencapai objektif penubuhan dan pengurusan Anjung Digital yang akan memberi manfaat kepada pihak-pihak berteraskan teknologi dan inovasi bagi memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0.

Penubuhan Anjung Digital Smart Selangor ini akan menjadi pusat pertemuan antara tenaga pengajar bagi kursus keusahawanan SSDU Innovations Sdn Bhd bersama rakyat Selangor yang berminat untuk menjalankan aktiviti keusahawanan;menjasi pusat pembangunan dan penyelidikan bagi projek keusahawanan, pusat pertemuan bagi usahawan dalam usaha memperluas jaringan perniagaan dan penganjuran aktiviti keusahawanan bersama pengusaha dan pelajar kursus.

Anjung Digital Smart Selangor merupakan sebuah dewan kuliah yang dibina pada tahun 1994,iaitu 30 tahun yang lalu bersama-sama bangunan Blok A, B, C, D dan E, FTSM. Dengan keluasan 2,600 kaki persegi, dewan tersebut berfungsi sebagai dewan kuliah pelajar prasiswazah pada awalnya, sebelum dinaik taraf oleh SSDU Innovations Sdn. Bhd. yang telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan UKM bagi inisiatif pembangunan Smart Selangor Centre of Excellence atau Hub  Keusahawanan & Digitalisasi Smart Selangor.

Leave a Reply