Lawatan FST ke Prince Songkla University Perluas Jaringan Kualiti dan Perkhidmatan

Oleh Ts. Dr. Idris Bin Zulkifle
Foto oleh Fakulti Sains dan Teknologi

BANGI, 16 Oktober 2024 – Seramai 29 warga Fakulti Sains dan teknologi (FST) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan sesi perkongsian ilmu ke Prince Songkla of University (PSU), Thailand bagi memperluaskan lagi jaringan dari segi kualiti dan perkhidmatan, khususnya dalam pengurusan makmal dan instrumentasi.

Lawatan yang diketuai oleh Prof Madya Dr Abdul Munir Abd Murad telah dibawa ke Faculty of Science dan Office of Scientific Instrument and Testing (OSIT), PSU bagi melihat dengan lebih dekat sistem pengurusan makmal secara atas talian peringkat universiti.

Sistem yang diperkenalkan itu merangkumi tujuh sistem pengurusan seperti sistem pengurusan sisa kimia, sistem operasi keselamatan, sistem dokumentasi, sistem pengurusan makmal,sistem pengurusan risiko, sistem sokongan pelajaran dan sistem pelupusan.

Semua sistem ini dihimpunkan dalam satu portal yang boleh diakses oleh kakitangan dan juga pelajar. Pembentangan berkenaan sistem itu telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan Inovasi dan Perhubungan Awam, Faculty of Science PSU, Prof Madya Dr. Boonyartl Chatthong.

Selain itu, semua peserta juga turut dibawa ke OSIT bagi melihat aset instrumentasi yang ada di situ. OSIT merupakan sebuah jabatan yang mempunyai diakreditasi dalam ISO 9001:2005 serta menawarkan perkhidmatan instrumentasi secara berpusat.

Permohonan penggunaan semua intrumentasi di OSIT boleh dicapai secara dalam talian mengikut masa dan hari yang lebih fleksibel. Menariknya di sini, semua peralatan dikelaskan mengikut kategori seperti makmal terma, pencirian bahan, elektron spektroskopi, analisis kimia dan lain lain.

Kerjasama UKM dengan PSU bukanlah asing kerana kedua-dua universiti itu telah menjalinkan lima kerjasama sebelum ini melalui memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian (MoA), yang mana salah satunya adalah daripada FST.

Selain dari aktiviti akademik dan pengurusan, peserta juga berkesempatan menyantuni pelajar Madrasah Tahfeezulquran Daiyah Siddiqa di Songkla melalui program khidmat masyarakat di Thailand.

Menurut ketua Program, Ts.Dr Idris Zulkifle, program itu merupakan salah satu usaha FST untuk menzahirkan keprihatinan kepada pelajar yang menghafal Al-Quran.

Beliau berkata melalui program itu, FST berjaya menyumbangkan Al-Quran terjemahan, Al Quran, buku rujukan agama dan pakaian solat kepada 85 orang pelajar tahfiz madrasah tersebut.

Buku rujukan agama dan Al-Quran yang disampaikan itu adalah hasil sumbangan  Pustaka Cahaya Kasturi Sdn Bhd dan sumbangan persendirian.

Program Perkongsian Ilmu adalah kali kedua diadakan, dengan siri pertama telah dijalankan pada tahun 2023 di National University of Singapore, Singapura.

Leave a Reply