MyKARIER Kit Bantu Pelajar Buat Keputusan Kerjaya

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 16 Oktober 2024 – Satu panduan komprehensif bagi menyokong pembangunan kerjaya pelajar dari tahun pertama hingga ke tamat pengajian iaitu MyKARIER Kit telah dilancarkan bagi membantu pelajar membut keputusan kerjaya yang efektif.

Kit yang dilancarkan oleh Pusat Pembangunan Karier (UKM-Karier) ini juga mengandungi panduan langkah demi langkah, alat praktikal, dan aktiviti terancang bagi membantu pelajar mengenal pasti minat dan bakat, serta meneroka pelbagai pilihan kerjaya yang ada.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md. Jamil, pelajar juga harus berinisiatif dan mengambil peluang untuk meningkatkan kemahiran baharu agar sesuai dengan keperluan kerjaya masa hadapan.

“Perancangan kerjaya yang tepat adalah kunci kepada kejayaan graduan dalam penentuan masa hadapan.

“Pelajar tidak hanya perlu fokus kepada akademik, tetapi juga perlu bersedia dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan dengan kehendak industri,” katanya.

Tambahnya, kebolehpasaran graduan yang telah menjadi fokus utama universiti dapat dipertingkatkan lagi dengan memperkukuh dan meneroka peluang kerjaya baharu.

“Hal ini dapat diperkukuhkan lagi dengan mempelbagai program sokongan pembangunan kerjaya masa hadapan dalam melahirkan graduan yang holistik dan dinamik.

“Saya berharap kerjasama antara UKM dan pihak industri akan sentiasa menjadi keutamaan dan dapat diteruskan dalam pelbagai platform yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Leave a Reply