BANGI, 30 Oktober 2024 – Malaysia akan memimpin ASEAN dalam mencapai solidariti dan perpaduan bersama dalam menghadapi cabaran geo-ekonomi global, kata Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sufian Jusoh dalam syarahannya di Universiti Cambridge, United Kingdom, baru-baru ini.
Menurut Prof Dr Sufian, di bawah kepimpinan Malaysia, Visi ASEAN 2045 akan membentuk nasib rantau ASEAN, yang menghadapi pelbagai cabaran dan ketidakpastian dalam bergerak ke fasa seterusnya dalam integrasi serantau.
“Malaysia berada dalam posisi yang baik untuk mengusahakan penyelesaian krisis politik di Myanmar, di mana Malaysia memiliki pengalaman dalam menyelesaikan kebuntuan politik sebelum ini di negara itu.
“Malaysia, yang mempunyai hubungan diplomatik dan ekonomi yang kukuh dengan China juga akan menggunakan pengaruhnya untuk mencari penyelesaian yang saling menguntungkan, termasuk mendapatkan persetujuan China terhadap Kod Tatakelakuan (Code of Conduct) yang bermakna di Laut China Selatan,” katanya dalam syarahan bertajuk Cabaran Geo-ekonomi dalam Integrasi ASEAN Menuju 2045.
Beliau berkata Malaysia akan memimpin ASEAN menuju pencapaian pertumbuhan yang inklusif dan mengurangkan jurang ekonomi di antara Negara-Negara Anggota ASEAN, termasuk Timor-Leste.
“Kepimpinan ASEAN Malaysia bertujuan untuk memastikan keterangkuman dan kelestarian dengan memberi tumpuan kepada megatrend semasa dan masa depan yang utama seperti perubahan iklim, perubahan teknologi yang pesat seperti kecerdasan buatan (AI), di mana kebanyakan Negara Anggota ASEAN adalah pengguna teknologi, bukannya pelopor teknologi – persaingan untuk sumber seperti mineral kritikal, tenaga boleh diperbaharui, dan keterjaminan makanan,” katanya.
Dalam syarahan itu juga, Prof Dr Sufian telah berkongsi pendapat bahawa Malaysia akan memastikan ASEAN menjadi rule-maker yang penting dalam re-globalisasi dan dalam menghidupkan semula sistem perdagangan multilateral pasca-pandemik Covid-19.
Ujar beliau, Malaysia adalah anggota aktif Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta terlibat secara aktif dalam menangani keutamaan perdagangan dan pelaburan serantau seperti pelaksanaan penuh dan berkesan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Serantau (RCEP).
Beliau berpendapat bahawa Visi ASEAN 2045 akan menjadi pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi serantau dan global serta menetapkan derap langkah ke arah keamanan, kestabilan, dan kemakmuran di rantau ini.
Beliau berkata dengan peluang unik pada tahun 2025, Malaysia bersedia dan dilengkapi dengan segala peluang untuk merangka arah tuju ASEAN menjelang 2045.
Melihat ke hadapan, Prof Dr Sufian mencadangkan agar kerajaan melibatkan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat dan memaklumkan kepada mereka mengenai ASEAN dan Kepimpinan ASEAN pada tahun 2025.
Syarahan khas itu merupakan sebahagian daripada kerjasama antara IKMAS UKM dan Pusat Geopolitik Universiti Cambridge untuk mempromosikan Kepimpinan ASEAN Malaysia pada tahun 2025 dan untuk meningkatkan pemahaman yang lebih baik mengenai Visi ASEAN 2045 kepada masyarakat global, di mana United Kingdom merupakan salah satu rakan dialog utama ASEAN.
Dalam menyambut kedatangan Prof Dr Sufian ke Universiti Cambridge, Pengarah Pusat Geopolitik universiti itu, Prof William Hurst mengatakan bahawa ASEAN merupakan rantau yang penting bukan sahaja daripada segi ekonomi malah geopolitik dalam menentukan masa depan global.