Syarahan Canselor Tuanku Muhriz ke-6 Fokus kepada Tadbir Urus Berintegriti

Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 8 November 2024 – Syarahan Canselor Tuanku Muhriz Ke-6 yang disampaikan oleh mantan Menteri Luar, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Albar  yang didakan baru-baru ini memberi fokus kepada tadbir urus berintegriti dalam sesebuah pentadbiran.

Berbekalkan pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran negara, Syarahan Canselor Tuanku Muhriz ini memberi peluang kepada beliau untuk mengupas kepentingan membangunkan tadbir urus dan integriti dalam sesebuah pembangunan negara bangsa.

Dalam syarahan itu, beliau telah menekankan kepentingan pendidikan etika dari usia muda sebagai langkah jangka panjang untuk menanam nilai-nilai integriti.

“Sistem pendidikan perlu menekankan aspek moral bagi menghasilkan generasi yang lebih beretika. Nilai integriti perlu diterapkan sejak peringkat awal pendidikan.

“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga bertanggungjawab dan berpegang kepada prinsip etika yang tinggi,” katanya.

Tan Sri Syed Hamid turut menegaskan kestabilan dan kemakmuran negara perlulah dibina berdasarkan pegangan teguh kepada integriti.

Katanya, Malaysia sepatutnya mempunyai sistem tadbir urus yang baik dan tidak berkompromi dalam menangani isu-isu rasuah dan salah guna kuasa.

“Kerajaan mesti mempunyai keupayaan untuk melaksanakan matlamat integriti dengan bersungguh-sungguh,” tegas beliau.

Beliau turut menyatakan bahawa tadbir urus yang baik bukan sekadar satu konsep yang diikuti, tetapi ia merupakan asas kepada pembangunan sesebuah negara dan kesejahteraan masyarakat.

Oleh itu, katanya tugas kerajaan adalah untuk mempromosikan nilai-nilai murni dan budaya integriti dalam hati dan jiwa manusia tentang kejujuran, tanggungjawab dan akauntabiliti.

Syarahan perdana terulung ini adalah tanda sanjungan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, yang juga Canselor UKM.

Di bawah naungan baginda, UKM beriltizam menjulang aspirasi sebagai sebuah Universiti Watan yang bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi juga terus menjana ilmu dan idea baharu sesuai dengan cabaran pembangunan ke arah kesejahteraan masyarakat.

Medium ini juga akan menjadi wadah kepada tokoh ulung dari dalam dan luar negara untuk berkongsi pemikiran, pengetahuan dan pengalaman khususnya dalam bidang hal ehwal awam, tadbir urus, integriti dan perundangan.

Syarahan Canselor Tuanku Muhriz yang mula diadakan pada tahun 2016 telah , menampilkan tokoh-tokoh ternama iaitu Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (tahun 2016), Tan Sri Dr. Surin Pitsuwan (2017), The Rt. Hon. Lord Thomas of Cwmgiedd (2018), Dr. Jomo Kwame Sundaram (2019) dan Prof. Dr. Haji Susilo Bambang Yudhoyono (2022).

Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tunku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Tunku Zain  Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz berkenan mencemar duli menghadiri majlis syarahan ini.

Majlis berprestij ini turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dao’ Dr. Mohamad Abd. Razak dan Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs Ts Dr. Mohd Ekhwan Toriman, ahli-ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi UKM.

Leave a Reply