Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
PUTRAJAYA, 8 November 2024 –Seramai 5,000 peserta yang terdiri daripada pelajar dan graduan telah berjaya dilatih untuk menjadi seorang pekerja bebas gig atau freelancer digital yang mampu menjana pendapatan yang stabil dan berdaya saing melalui peluang pekerjaan antarabangsa di platform digital melalui Program MOHE-MDEC Global Outsourcing Talent (GOT).
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai universiti penyelarasa telah menerima peruntukan dana daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebanyak RM25 juta melalui Dana PENJANA KPT-CAP manakala Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dilantik sebagai penyedia perkhidmatan untuk program ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Dr Mustapha Sakmud berkata hasil daripada setahun program ini dijalankan, ia dilihat berjaya apabila ada peserta yang dapat menjana pendapatan sehingga RM300,000.
“Melalui program ini, selain dapat menambah nilai mereka (peserta) sebagai mahasiswa, apa yang paling penting menambah pendapatan mereka.
“Ia sekaligus dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan kita dan juga memastikan mereka mendapat gaji yang premium,” katanya pada majlis Program MOHE-MDEC GOT, di sini.
Beliau berkata pihak KPT akan minta UKM dan MDEC untuk membuat sedikit kajian dan rumusan bagi lihat bagaimana posisi program ini sama ada perlu diteruskan atau tidak.
“Memang kosnya tinggi, tapi kalau posisinya dapat melahirkan tenaga kerja yang baik, dapat melahirkan global talent dan memberi pekerjaan kepada generasi muda, saya fikir kita minta supaya Perdana Menteri dan juga pihak kerjaan dapat menimbang untuk memberikan dana untuk program diteruskan,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata kejayaan peserta dalam program ini amat membanggakan dan memberi inspirasi serta galakan kepada pelajar dan graduan lain agar dapat meneroka pasaran kerja dalam bidang ekonomi gig yang boleh menjana pendapatan lumayan.
“Kejayaan ini juga menunjukkan graduan Malaysia berupaya bersaing di peringkat antarabangsa dengan kemahiran terkini serta terkehadapan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penutup Program MOHE-MDEC GOT, di sini.
Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan berkata kejayaan itu menunjukkan betapa pentingnya program tersebut dalam membantu peserta mencapai kejayaan dalam kerjaya masing-masing.
Pada program ini juga turut diadakan penyampaian anugerah bagi tiga kategori iaitu Anugerah Pencapaian Cemerlang (Kategori Universiti), Anugerah Universiti Terbaik GOT (Kategori Keseluruhan) dan Anugerah Peserta Teebaik GOT.
Bagi Anugerah Universiti Terbaik GOT (Kategori Keseluruhan), UKM telah menduduki tempat kedua, manakala tempat pertama dimenangi oleh UiTM.