Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 29 Oktober 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengimarahkan Sambutan Maulidur Rasul peringkat universiti dengan pelbagai aktiviti kerohanian.
Bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”, sambutan ini diserikan dengan aktiviti seperti kuliah Cintakan Rasul, daurah, serta pertandingan tilawah al-Quran, hafazan, syarahan, dan nasyid.
Acara kemuncak sambutan ini menyaksikan perarakan seramai 2,520 peserta dari 35 kontinjen pusat tanggungjawab dan kolej kediaman yang berarak sejauh tiga kilometer bermula dari Dataran Panggung Seni.
Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, berkata penganjuran ini memberi kesedaran kepada semua agar sentiasa berusaha memperbaiki akhlak dan meneguhkan jati diri sebagai seorang Muslim.
“Kita selaku ummat Nabi Muhammad S.A.W wajar untuk sentiasa mengenang perjuangan Baginda Rasulullah S.A.W dalam menyebarkan dakwah Islam.
“Dengan hasil perjuangan dakwah Baginda Rasulullah SAW dan pengorbanan sahabat-sahabat Baginda, maka kita dapat mengecapi nikmat iman dan islam pada hari ini.
“Selain itu, sama-samalah kita berusaha untuk mengamalkan sunnah Baginda SAW yang mulia dalam kehidupan kita dengan beramal secara menyeluruh dan bersungguh- sungguh.
“Saya berharap agar semangat Maulidur Rasul yang disambut pada hari ini dapat menyemaikan rasa mahabbah (kasih dan cinta) kita yang berterusan dan berkekalan untuk junjungan besar Nabi Muhammad SAW,” katanya.
Johan acara perarakan bagi kategori kolej kediaman jatuh kepada Kolej Keris Mas. Sementara itu, kategori PTJ pula dimenangi oleh Jabatan Bendahari.