329 Alumni UKM Kini Berkhidmat di USIM

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

NILAI, 12 Novembe 2024 – Seramai 329 alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini berkhidmat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam pelbagai jawatan sama ada dalam kumpulan pengurusan dan profesional atau kumpulan sokongan.

Pengerusi Lembaga Pengarah merangkap Pengerusi Majlis Alumni UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr Mohamad Abd Razak berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 229,000 alumni yang telah mencipta nama dan kejayaan dalam pelbagai bidang di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Sebagai seorang alumni, saya berasa amat bangga melihat rakan-rakan alumni yang terus berbakti kepada alma mater tercinta.

“Budaya filantropi yang dibawa oleh alumni dapat dilihat melalui projek-projek berimpak tinggi seperti pembinaan Kompleks Alumni, yang merupakan hasil sumbangan alumni dengan jumlah mencecah RM1.9 juta.

“Kompleks ini menjadi simbol kesatuan jiwa alumni dalam menyumbang kembali kepada universiti, sekali gus memperkukuhkan hubungan dua hala yang berpanjangan antara alumni dan UKM.

“Saya menyeru agar lebih ramai alumni tampil untuk menyumbang sama ada dari segi kewangan, pengetahuan, atau kepakaran bagi menyokong pelbagai inisiatif universiti pada masa hadapan,” katanya semasa menyampaika ucapan di Majlis Hi-Tea dan Special Alumni Group@USIM, baru-baru ini.

Beliau berkata sokongan daripada alumni adalah aset berharga yang menyumbang kepada kecemerlangan dan kelestarian UKM.

“Dengan perkongsian ilmu, pengalaman, dan sumbangan berterusan, kita dapat memastikan generasi akan datang mendapat pendidikan yang berkualiti dan relevan dengan kehendak pasaran kerja,” katanya.

Dalam ucapan itu, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua alumni yang hadir dan menyeru agar semua alumni terus memberi sokongan padu kepada UKM dalam apa jua inisiatif yang akan datang.

Katanya, dengan perkongsian ilmu, pengalaman, dan sumbangan berterusan, kita dapat memastikan generasi akan datang mendapat pendidikan yang berkualiti dan relevan dengan kehendak pasaran kerja.

Majlis itu juga turut dihadiri oleh  Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, juga merupakan alumni UKM, Pengarah Alumni UKM.

Leave a Reply