Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
CHERAS, 14 November 2024 – Profesor di Fakulti Perubatan, Prof Dr Norfilza Mohd Mokhtar dilantik sebagai penasihat perubatan rasmi kepada VITAGEn, jenama susu kultur terkemuka di Malaysia.
Beliau yang juga merupakan pelopor dalam bidang penyelidikan gastroenterologi dan perubatan genom dilantik oleh syarikat itu bagi menterjemahkan penyelidikan terkini kepada penyelesaian praktikal yang dapat memberi manfaat kepada jutaan orang.
Prof Dr Norfilza berkata kerjasama itu bakal membuka peluang menarik untuk menjalinkan hubungan antara penyelidikan terkini dengan penyelesaian kesihatan yang praktikal.
“Saya bersemangat untuk berkolaborasi secara rapat dengan rakan penyelidik saya dari kumpulan Penyelidik GUT UKM untuk menterjemahkan penyelidikan kami kepada sesuatu yang bermakna untuk para pengguna,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Cotra Enterprises Sdn. Bhd.
MoU itu memperlihatkan kolaborsi strategik yang lebih luas antara Cotra Enterprise (VITAGEN) dengan UKM, yang memfokuskan kepada penyelidikan bersama, kempen kesihatan awam dan perundangan pakar.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata dengan pelantikan Prof. Dr. Norfilza sebagai Penasihat Perubatan dan duta kepada syarikat tersebut, beliau yakin kepakaran Prof Dr Norfilza dalam kajian probiotik dan kesihatan usus akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memajukan pembangunan penyelidikan (R&D) dalam bidang ini.
“Melalui inisiatif R&D, kita berharap dapat meningkatkan kualiti produk yang lebih berkhasiat dan memberi manfaat yang besar kepada pengguna,” katanya.
Katanya, melalui perjanjian itu beliau berharap agar membuka peluang pekerjaan kepada graduan selepas tamat pengajian.
“Dengan ini, terhasilah ekosistem yang sangat positif diantara industri dan universiti dalam menghasilkan sumber manusia yang diperlukan pada masa akan datang,” tambah beliau lagi.
Majlis menandatangai perjanjian penyelidikan itu bukan sekadar simbolik kepada kolaborasi antara Fakulti Perubatan UKM dan Cotra Enterprises Sdn. Bhd., tetapi lebih kepada komitmen bersama dalam memajukan pengetahuan saintifik, memacu inovasi, dan memberi impak positif kepada masyarakat serta dunia amnya.
“Bersama-sama, kita melangkah ke hadapan dalam perjalanan penemuan, berpaksikan misi yang sama serta semangat untuk mencipta masa depan yang lebih sihat dan lebih cerah bagi generasi akan datang,” kata Prof Dr Wan Kamal.