Oleh Haiqal Rawlins
Nakhon Si Thammarat, 21 Oktober 2024 – Program Kembara UKM Siri 3 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Pondok Bantan, Thailand, menyaksikan pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UKM dan Sekolah Agama Prateepsasana, Pondok Bantan serta penyerahan MoU kepada Universiti Walailak.
MoU bersama Pondok Bantan yang diselaras oleh Fakulti Pengajian Islam dan MoU bersama Universiti Walailak yang diselaras oleh Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM mensasarkan pembangunan pendidikan tinggi dan penyelidikan
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata pemeteraian dokumen kerjasama dan memorandum persefahaman ini akan menyumbang kepada penghasilan graduan yang berdaya saing yang bukan sahaja dilengkapi dengan pengetahuan tetapi juga dengan kemahiran untuk berjaya dalam dunia yang semakin global.
“Kerjasama ini juga bakal menghasilkan graduan berbakat dan terbaik negara, mengukuhkan lagi ekosistem penyelidikan dan inovasi, melaksanakan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan pemantapan ekosistem pemboleh daya,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program ini, satu Bengkel Training of Trainers (ToT) dalam Pembangunan Profesional bagi Guru Bahasa telah dilaksanakan di Pondok Bantan. Sesi ini disertai oleh 20 orang guru-guru Pondok Bantan manakala tenaga pengajar merupakan guru-guru bahasa daripada Pusat Pengajian Citra Universiti (CITRA-UKM).
Selain itu, rombongan UKM turut mengadakan pemeriksaan kesihatan di Kampung Kedahan yang dilaksanakan oleh Pusat Kesihatan Universiti dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) melibatkan seramai 85 orang penduduk. Manakala di Sekolah Prateepasat Wiratsayamanee, satu program sunathon juga diadakan, melibatkan 70 orang kanak-kanak antara 5 hingga 12 tahun.
Turut serta sebagai sukarelawan ialah pelajar PESISTRA yang terdiri daripada pelajar tahun 2 dan 3 program Sarjana Muda Sains Citra yang memberikan khidmat komuniti dalam membantu program pemeriksaan kesihatan dan sunathon.
Kerjasama UKM-Pondok Bantan telah bermula sejak Ogos 2017 dengan tujuan memperkukuh jaringan akademik dan menyantuni komuniti setempat yang masih menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi harian.
Penutup program ini diakhiri dengan kenduri rakyat dan Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk “Dunia Dikendung, Akhirat Dijunjung” di Kg. Kedahan.
Program Kembara UKM Siri 3 ini dianjurkan oleh CITRA-UKM dengan kerjasama Pusat Jaringan Industri dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Perubatan, LESTARI, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Bahagian Keselamatan UKM, Pusat Komunikasi Korporat dan Kelab UKM Bikers.