Canselor UKM Perkenan Penubuhan Kursi Diraja Canselor Tuanku Muhriz

Oleh Murniati Abu Karim
Foto oleh Pusat Komunikasi Korporat

Bangi, 23 November 2024 – Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menubuhkan Kursi Diraja Canselor Tuanku Muhriz bagi memperkukuhkan penyelidikan dalam bidang perubatan, khususnya mengenai penyakit tidak berjangkit.

Baginda bertitah, Profesor Kardiologi dan Ketua Jabatan Perubatan Molekul dan Klinikal di Universiti Dundee, Dr. Chim C. Lang, dilantik sebagai penyandang kursi ini.

“Beta yakin, dengan pengalaman meluas Profesor Chim C. Lang, akan dapat menjadikan UKM sebagai pusat rujukan utama di rantau ini dalam aktiviti penyelidikan dan perkongsian pintar berkaitan penyakit tidak berjangkit,” titah baginda.

Menurut Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, penubuhan Kursi ini adalah sebagai pengiktirafan dan penghormatan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Canselor UKM.

Tambahnya, pelantikan Profesor Chim C. Lang sebagai penyandang kursi adalah tepat berdasarkan pengalaman beliau dalam bidang perubatan yang akan meningkatkan imej universiti dan negara.

“Prof. Lang telah memainkan peranan penting dalam penyelidikan kardiovaskular. Beliau telah mengetuai pelbagai projek penyelidikan inovatif dalam bidang kardiometabolik, terutamanya dalam memahami patofisiologi dan membangunkan penanda biologi.

“Beliau kini menjawat jawatan sebagai Profesor Kardiologi di Universiti Dundee, di mana beliau mengetuai Jabatan Perubatan Molekul dan Klinikal, serta berkhidmat sebagai Pakar Kardiologi di National Health Service (NHS) Tayside,” katanya.

Mohd Ekhwan berharap penubuhan kursi ini dapat menguatkan jaringan industri, memperkukuh sumbangan kepada masyarakat, serta meningkatkan kesohoran bidang perubatan, terutamanya dalam menangani penyakit tidak berjangkit.

Leave a Reply