Mahasiswa UKM Kumpul Dana Hampir RM500,000 Bagi Karnival Konvokesyen

Oleh Alany Fatini
Foto Izwan Azman

BANGI, 24 November 2024 – Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengumpul dana sebanyak hampir RM500,000 bagi menjayakan Karnival Konvokesyen (Karkon) kali ke-52.

Pengarah program, Muhammad Aidil Yusrif berkata keterlibatan pelajar dalam usaha untuk penganjuran karnival konvokesyen ini sangat memberangsangkan.

“Terdapat seramai 302 ahli jawatankuasa meliputi 15 pembahagian kerja. Pengambilan ahli jawatankuasa berkurang sedikit berbanding tahun lepas kerana saya mementingkan kualiti,” katanya.

Karnival Konvokesyen ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak di Dataran Panggung Seni.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan bahawa acara ini menyediakan satu platform unik untuk pelajar, pensyarah dan industri berinteraksi serta berkongsi pengalaman, termasuk peluang memahami realiti pasaran kerja menerusi pameran, bengkel dan aktiviti interaktif.

“Saya sangat berbangga kerana karnival konvokesyen ini disediakan oleh pelajar, disambut oleh pelajar dan untuk pelajar.

“Karnival ini adalah sangat penting bukan sahaja untuk kampus tetapi hubungan kita dengan masyarakat setempat iaitu di Bangi.

“Tanpa sokongan masyarakat setempat, saya rasa kejayaan ini tidak mungkin dapat dicapai seperti yang kita harapkan. Saya berharap kita semua, terutama para pelajar, dapat belajar daripada pengalaman mengendalikan karnival besar seperti ini,” katanya.

Leave a Reply