Kem Terapi Neurakasa : Membina Ketahanan Mental Melalui Inovasi Neurosains

JANDA BAIK, 4 Disember 2024 – Seramai 30 peserta yang terdiri daripada penjawat awam dan pelajar doktor falsafah menyertai Kem Terapi Neurakasa yang ditaja sepenuhnya oleh UNESCO bagi menyokong usaha Malaysia dalam meningkatkan kesihatan mental dan membuka lembaran baharu dalam pendekatan terapi kendiri di negara ini.

Kem Terapi Neurakasa bukan sekadar program terapi biasa, tetapi merupakan inovasi terkini dalam bidang terapi kendiri yang menggabungkan prinsip neurosains dengan teknik kekuatan mental yang digunakan oleh atlet elit.

Program ini direka khusus untuk membantu individu mengembangkan ketahanan mental yang diperlukan untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan.

Pencipta dan pengasas program, Dr. Nurwina Akmal Anuar berkata konsep di sebalik Kem Terapi Neurakasa adalah melalui integrasi antara pengetahuan terkini tentang neuroplastisiti, iaitu keupayaan otak untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan strategi kekuatan mental.

“Konsep yang digunakan oleh atlet elit ini adalah bagi membolehkan peserta membina daya tahan mental yang kukuh untuk menghadapi pelbagai situasi dalam kehidupan.

“Ia adalah penggabungan pengetahuan terkini tentang fungsi otak dengan teknik terapi moden untuk menciptakan pengalaman pembelajaran yang holistik dan berkesan. Setiap aktiviti dan sesi dalam kem ini dirancang untuk merangsang perubahan positif dalam struktur dan fungsi otak peserta yang kekal,” katanya.

Beliau berkata modul-modul kem itu dirancang dengan teliti untuk mengoptimumkan fungsi otak dan meningkatkan daya tahan mental peserta.

“Sebagai contoh, modul Rewire your brain dan Emotional Mastery menggunakan teknik-teknik yang biasa digunakan oleh atlet profesional untuk mengatasi halangan mental dan mengawal emosi dalam situasi tekanan tinggi.

“Modul-modul seperti Master Your Calm dan Embrace the Space mengajar peserta teknik-teknik mindfulness dan visualisasi yang sering digunakan oleh atlet untuk meningkatkan fokus dan mengurangkan tekanan.

“Teknik-teknik ini bukan sahaja berguna dalam arena sukan, tetapi juga boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian untuk menangani tekanan dan cabaran,” katanya.

Kem Terapi Neurakasa merupakan kem terapi pertama di Malaysia yang mengajar teknik terapi kendiri berdasarkan fungsi otak.

Tambah Dr Nurwina, dengan memahami bagaimana otak berfungsi dan menggunakan teknik-teknik yang telah terbukti berkesan dalam dunia sukan, peserta dapat membina ketahanan mental yang membolehkan mereka kekal kuat dalam pelbagai situasi.

“Ini adalah kunci untuk mencapai kesejahteraan mental yang berkekalan,” katanya.

Ujarnya, kem tersebut bukan sahaja bertujuan untuk membantu individu tetapi juga menyokong usaha negara dalam meningkatkan kesedaran dan kesejahteraan mental.

“Dengan pendekatan holistik yang menggabungkan aspek fizikal, mental, dan spiritual, kem ini menyediakan platform bagi peserta untuk mencapai potensi penuh mereka.

“Kami berharap program ini akan menjadi pemangkin untuk lebih banyak inovasi dalam bidang terapi kendiri di Malaysia.

Leave a Reply