Inovasi Batang Kelapa Sawit Raih Anugerah Emas Sarjana

Oleh Dina Haziqah
Foto oleh Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 23 November 2024 – Hikmah Bajunaid Hariz, graduan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berjaya memanfaatkan batang kelapa sawit, bahan buangan industri, untuk menghasilkan asid suksinik – sejenis bahan kimia serba guna yang penting dalam pelbagai sektor.

Atas kejayaan penyelidikan ini, beliau dianugerahkan Anugerah Emas Sarjana UKM, pengiktirafan tertinggi universiti itu bagi kecemerlangan akademik dan penyelidikan.

“Saya memilih untuk menggunakan batang kelapa sawit kerana ia kaya dengan gula, yang diperlukan bakteria untuk menghasilkan asid susinik. Pendekatan ini bukan sahaja mesra alam tetapi juga sejajar dengan prinsip ekonomi kitaran,” kata Hikmah.

Menurutnya, asid susinik mempunyai pelbagai kegunaan, termasuk pembuatan bioplastik, baja, dan farmaseutikal.

“Daripada sisa menjadi kekayaan – itu adalah visi utama penyelidikan saya,” tambahnya.

Cabaran besar dalam penyelidikan ini adalah untuk mencapai hasil asid susinik yang optimum.

“Pada awalnya, bakteria yang saya gunakan tidak menghasilkan asid seperti yang diharapkan. Ia memerlukan banyak troubleshooting, eksperimen berulang kali, dan pemahaman mendalam tentang keperluan bakteria tersebut,” katanya.

Keunikan penyelidikan ini terletak pada penggunaan bahan buangan sebagai sumber utama.

“Selalunya, gula yang digunakan dalam penghasilan asid susinik adalah mahal. Dengan menggunakan batang kelapa sawit, kos dapat dikurangkan secara signifikan. Ia menunjukkan potensi besar untuk aplikasi komersial,” ujar beliau.

Kini, kajian Hikmah berada pada tahap TRL 5-6 (Technology Readiness Level), membuktikan keberkesanannya di peringkat makmal.

“Saya berharap penyelidikan ini dapat membuka jalan ke arah penyelesaian lestari dalam menangani sisa industri. Dunia memerlukan lebih banyak inovasi seperti ini untuk masa depan yang lebih hijau.

“Saya pernah merasa seperti menghadapi imposter syndrome. Rasa seperti ada sesuatu yang kurang dalam diri saya. Namun, saya selalu mengingatkan diri bahawa setiap cabaran adalah peluang untuk belajar,” jelas Hikmah.

Selain itu, Hikmah turut berkongsi perasaan syukurnya terhadap sokongan yang diterima sepanjang perjalanan akademiknya.

“Rakan-rakan makmal saya sentiasa ada untuk memberi motivasi. Kami sering bertukar pandangan dan membantu satu sama lain. Sokongan mereka, bersama doa dan nasihat ibu bapa saya, menjadi sumber kekuatan yang amat besar,” katanya.

Dengan pengiktirafan ini, Hikmah sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD atau meneroka peluang dalam industri.

“Bagi saya, setiap cabaran adalah peluang untuk belajar. Saya mahu terus berinovasi dan memberi impak positif kepada masyarakat,” ujarnya.

Leave a Reply