Oleh Nur Adriana Norahim
Foto Oleh Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 1 Disember 2024 – Majlis Penutup Karnival Konvokesyen (Karkon) ke-52 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melabuhkan tirainya di Dataran Panggung Seni dengan kira-kira lebih 700,000 pengunjung yang terdiri daripada graduan, keluarga graduan, warga UKM serta komuniti Bangi.
Majlis ini dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Dato’ Mohamad Abd. Razak dan diiringi oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman.
Naib Canselor berkata penganjuran karnival ini membuktikan bahawa mahasiswa UKM bukan sahaja unggul dalam bidang akademik malah berkemampuan tinggi dalam aspek pengurusan dan kepimpinan.
“Karkon membuka peluang kepada hampir 320 mahasiswa yang terlibat secara langsung untuk mengasah bakat kepimpinan, kemahiran berkomunikasi, rundingan dan keupayaan menyelesaikan masalah.
“Kemahiran-kemahiran inilah yang amat diperlukan oleh majikan bagi kebolehpasaran seseorang graduan.
“Ingatlah bahawa kecemerlangan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata tetapi juga melalui kebolehan anda untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara,” ujarnya.
Beliau turut berbangga melihat kesungguhan Sekretariat Karkon berganding bahu dalam menjayakan dan menghidupkan kembali kemeriahan karnival ini.
Majlis Penutupan turut diserikan lagi dengan persembahan nyanyian oleh artis tanah air iaitu Ella dan Aizat Amdan dan pertunjukan bunga api.