KUALA LUMPUR, 17 Disember 2024 – Pensyarah Perubatan di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Fitri Fareez Ramli diundang oleh Yayasan Khazanah bagi mempamerkan karya-karya seni lukisan beliau sempena Majlis Minum Petang Kepimpinan Pemegang Biasiswa dan Alumni Khazanah (Khazanah Scholars Alumni Leadership Hi Tea), di Hotel Aloft Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam majlis itu, Dr Fitri Fareez mempersembahkan sembilan lukisan daripada Koleksi Kembara dan Suratan yang dihasilkan pada tahun 2016 ketika beliau bekerja di Perak, selain lukisan-lukisan yang dihasilkan olehnya sewaktu melanjutkan pengajian di Oxford pada tahun 2021 hingga pertengahan tahun ini.
Karya seni tersebut dilukis dengan menggunakan teknik lukisan akrilik bertekstur yang bertemakan abstrak. Selain itu, dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan, beliau juga menggunkan istilah-istilah Bahasa Melayu untuk menamakan setiap lukisan tersebut.
Beliau berkata, naratif yang digunakan pada setiap lukisan menceritakan konteks lukisan dari sisi pelukis yang juga membawa pesanan-pesanan yang bertemakan jati diri dan kesihatan mental.
“Karya-karya tersebut bukanlah sesuatu yang asing daripada bidang akademik yang saya diceburi. Kajian PhD yang saya jalankan juga berkaitan dengan penelitian ubat bagi kemurungan dengan menggunakan alat yang dapat mengukur fungsi emosi dan perubahan kimia dan fungsi pada otak pada peringkat awal rawatan,” katanya.
Mengulas berkenaan pameran tersebut, beliau berkata jemputan khas itu adalah dianggap sebagai satu contoh kepimpinan polimatik kerana Dr. Fitri Fareez merupakan seorang pensyarah perubatan, pemegang PhD dalam Psikiatri dan seorang artis, mencontohi kepimpinan polimatik melalui kebolehannya untuk menggabungkan bidang sains dan seni.
Selain pameran seni, majlis yang bertemakan ‘Leading through complexity: Adaptive Leadership for a Resilient Future’ itu turut diadakan sesi ucaptama dan forum, dan dihadiri oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar dan ahli Lembaga Pengarah Yayasan Khazanah, Datuk Nora Manaf.
Beliau yang juga penerima biasiswa Merdeka di bawah Program Pusat Pengajian Islam Oxford-Khazanah telah berjaya menyelesaikan pengajian PhDnya dalam tempoh tiga tahun di universiti ternama dunia di bawah bimbingan pakar terkemuka bidang Psikofarmakologi, Profesor Philip Cowen.
Sepanjang melanjutkan pengajian di United Kingdom, beliau telah menghasilkan sembilan artikel yang diterbitkan dalam jurnal berindeks dan mendapatkan geran-geran daripada organisasi-organisasi antarabangsa seperti Guarantors of Brain UK, British Association of Psychopharmacology dan Polish National Agency for Academic Exchange (NAWA).
Di samping itu, beliau juga turut menyelia seorang pelajar sarjana dalam tempoh pengajian PhDnya dan menjadi pewasit untuk beberapa jurnal berindeks antarabangsa.
Sepanjang tiga tahun pengajiannya di United Kingdom, lapan pameran telah berjaya diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kedutaan Besar Malaysia di United Kingdom, TalentCorp, Malaysian Association of Postgraduates and Professional UK dan University of Oxford (Department of Psychiatry & St Cross College).