15 Mahasiswa Tahun 1 Fakulti Pendidikan adakan Program ‘Perkhemahan Inspirasi’ kepada Pelajar Sekolah

OlehShahrul Amri
Foto oleh Fakulti Pendidikan

KUANTAN, 23 Januari 2025 – Seramai 15 mahasiswa tahun satu, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengendalikan program khidmat masyarakat dengan menganjurkan perkemahan untuk pelajar Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), baru-baru ini.

Program ini telah dilaksanakan sebagai salah satu kerja kursus di bawah mata pelajaran Sukan dan Masyarakat melalui kerjasama Kelab Bridget Penyayang, UKM.

Penasihat kelab merangkap penyelaras kursus, Dr Nurwina Akmal Anuar berkata, kursus itu membuka peluang kepada mahasiswa untuk menyampaikan kepentingan sukan kepada masyarakat dalam pelbagai modul dan cara.

“Menariknya, kursus ini juga melibatkan dua orang pelajar antarabangsa dari China, dan ini memberikan pengalaman baharu kepada mereka, melihat sendiri proses, dan terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan walaupun mereka ada kekangan bahasa,” katanya.

Beliau berkata program yang  dijalankan selama dua hari dengan melibatkan pencarian dana, susun atur aktiviti dan perhubungan luar, memerlukan kekuatan berpasukan yang utuh.

“Ini bertujuan untuk mengasah kemahiran kepimpinan, kerjasama dan semangat berpasukan dalam kalangan pelajar sekolah sukan tersebut.

“Pelbagai acara telah diadakan, antaranya latihan dalam kumpulan yang memiliki cabaran seperti menepati masa, semangat setia kawan dan kerjasama di dalam kumpulan.

“Aktiviti ini dapat menguji ketahanan fizikal dan mental para pelajar serta malam kebudayaan yang menguji kreativiti pelajar untuk mempersembahkan persembahan di khalayak ramai,” tambahnya. 

Selain itu, aktiviti lain yang menarik perhatian peserta adalah explorace. Aktiviti itu bertujuan untuk meningkatkan rasa tanggungjawab dalam diri setiap pelajar tentang pentingnya masa, di samping ingin melihat cara berkomunikasi dan menyelesaikan masalah dalam masa yang singkat di dalam kumpulan.

Program seperti ini memberi peluang kepada para peserta untuk meneroka dan memanfaatkan alam semula jadi sebagai latar belakang kepada aktiviti-aktiviti yang dirancang.

Menurut Pengetua SSMP, Zaidy Mohd Yunus, program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar tentang pentingnya disiplin dan kerjasama, malah memberikan mereka ruang untuk mengasah kemahiran kepimpinan.

“Program perkhemahan ini memberi peluang kepada para pelajar untuk berinteraksi secara lebih dekat dan mengasah sikap kepimpinan serta menguatkan lagi semangat berpasukan yang amat penting dalam dunia sukan,” ujarnya.

Sementara itu, ketua pasukan, Irsyad Danial berkata pengalaman mengendalikan program perkhemahan telah membuka matanya tentang potensi yang ada dalam dirinya dan ahli kumpulan.

“Kami perlu mencari dana untuk mengadakan program ini tanpa bantuan kewangan dari pihak universiti.

“Kami bermula dengan idea mengendalikan program yang kecil di sekitar Bangi, tetapi bertukar ke SSMP disebabkan kerjasama yang kuat bersama pihak sekolah, sokongan pensyarah dan komitmen ahli kumpulan,” ujarnya.

Katanya, kejayaan itu menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain, membuktikan bahawa tugasan akademik boleh dikembangkan dengan pelbagai cara dan lebih bermakna apabila digabungkan dengan dunia sebenar.

Leave a Reply