Oleh Dr. Nurul Syakirah Nazri (CITRA, UKM)
Foto oleh Debby chintya Ovami, M.Pd (UMN, Medan)
BANGI, 11 Mac 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi tuan rumah bagi program Pengabdian Masyarakat Antarabangsa yang dianjurkan secara bersama dengan Universiti Muslim Nusantara (UMN) Al Washliyah, Indonesia, baru-baru ini.
Program itu diadakan bertujuan untuk memperkukuh kerjasama akademik dalam bidang pendidikan, penyelidikan, dan pengabdian masyarakat antara kedua-dua institusi.
Sembilan delegasi dari UMN Al Washliyah yang menyertai program ini memulakan agenda akademik, perbincangan kerjasama serta penerokaan sejarah dan budaya Malaysia.
Antara aktiviti yang diadakan adalah seminar pendidikan yang mengetengahkan pertukaran kepakaran, perkongsian ilmu dalam bidang Pendidikan Matematik, Fizik, Ekonomi, Linguistik, dan Pendidikan Agama Islam.
Selain itu, delegasi juga terlibat dalam sesi perbincangan meja bulat bagi membincangkan kerjasama lanjut melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU). Antara agenda utama yang dipersetujui termasuklah program pertukaran akademik bagi pelajar dan pensyarah, kolaborasi penyelidikan dalam bidang pendidikan dan sosial dan pembangunan projek pengabdian masyarakat bersama.
Para peserta turut dibawa mendalami sejarah dan budaya Malaysia melalui lawatan ke beberapa lokasi bersejarah dan industri kreatif di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Antara tempat yang dilawati adalah Muzium Warisan Akademik UKM; yang mempamerkan pelbagai artifak, gambar dokumentasi, serta perkembangan akademik UKM dari masa ke masa, melawat Kilang Coklat Beryl’s, salah satu pengeluar coklat terkenal di Malaysia, dan mengunjungi Nasyrul Quran di Putrajaya, iaitu percetakan Al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Madinah.
Seorang peserta, Lia Afriyanti Nasution berharap agar kolaborasi itu dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang memberi manfaat kepada dunia akademik dan masyarakat.
“Melalui perbincangan ini, kami berharap UKM dan UMN Al Washliyah dapat segera merealisasikan program kolaborasi, sama ada dalam bentuk penyelidikan bersama, pertukaran akademik, mahupun projek pengabdian masyarakat,” ujar Lia.
Program ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama akademik tetapi turut memperluaskan perspektif peserta mengenai sejarah, budaya, dan industri kreatif di Malaysia.
Dengan kejayaan program itu, diharapkan hubungan antara UMN Al Washliyah dan UKM akan terus berkembang dan memberi impak positif kepada dunia pendidikan serta masyarakat global.
