Jejak Busana: Hampir 2 Tan Fabrik Terpakai Dikumpul, Sebahagian Disalurkan Melalui Program Cloth Jariah

Oleh Nur Syaherah Mohamad Sabri, Prof. Madya Ir. Dr. Wan Hanna Melini Wan Mohtar, Tuan Noraida Tuan Hamzah & Nur Haifaa Hanani Jusoh Sukri

BANGI, 14 Mac 2025 – Hampir 2 tan fabrik terpakai telah berjaya dikumpulkan dan sebahagiannya telah disalurkan semula kepada mereka yang memerlukan melalui program Cloth Jariah, salah satu inisiatif utama di bawah program Jejak Busana: Menyulam Budaya, Menenun Kelestarian yang diadakan di Pusat Pencerapan Bumi (EOC), Institut Perubahan Iklim (IPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Program anjuran Pusat Pengurusan Alam Sekitar (EMC), IPI dengan kerjasama Kelab Warga IPI (KWIPI) dan Pusat Islam UKM merupakan satu langkah penting ke arah memelihara bumi melalui amalan kitar semula tekstil serta pengurangan pembaziran sumber, sambil menyantuni golongan memerlukan menerusi konsep pemberian barangan secara percuma.

Program Cloth Jariah menjadi platform pengagihan pakaian dan barangan terpakai kepada komuniti yang memerlukan secara percuma. Melalui program ini, fabrik terpakai yang dikumpulkan sepanjang empat kali aktiviti Pengumpulan Fabrik diadakan telah melalui proses saringan dan penilaian kualiti bagi memastikan hanya pakaian dalam keadaan baik dan bersih sahaja diberikan kepada penerima. Manakala fabrik dan pakaian yang tidak lagi sesuai digunakan dihantar kepada rakan kolaborasi iaitu Kloth Care untuk dikitar semula.

Dari Declutter ke Derma: 3 Komponen, 1 Misi

Program Jejak Busana merangkumi tiga komponen utama iaitu pengumpulan fabrik secara berperingkat, Forum Declutter 360: Psikologi dan Alam Sekitar – mengupas kaitan antara amalan pengurangan barangan dengan kesejahteraan mental dan kelestarian alam dan program Cloth Jariah / Gift2Give iaitu sesi pengagihan pakaian dan barangan terpakai kepada komuniti dan orang yang memerlukan secara percuma. Pengunjung digalakkan membawa beg sendiri sebagai usaha membudayakan amalan kitar semula dan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

Ke Arah Universiti Lestari

Program ini bukan sahaja memberi impak sosial, malah memperkukuh peranan UKM sebagai universiti peneraju kelestarian melalui pendekatan yang inklusif, komuniti dan mampan. Ia menzahirkan nilai keprihatinan, kesedaran alam sekitar dan semangat perkongsian sejajar dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Pihak penganjur menzahirkan penghargaan kepada semua yang menjayakan program tersebut sama ada memberi sumbangan tenag, mahupun barangan.

Leave a Reply