Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 17 Mac 2023 – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa beramah mesra bersama mahasiswa UKM sambil menikmati makan tengah hari di Dapur Brahim’s, Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.
Pada pertemuan itu, beliau telah merasai sendiri Menu Siswa Rahmah dan mengambil peluang berbual ringkas bersama lebih 150 orang mahasiswa yang turut sama menjamu selera di kafeteria tersebut.
Perdana Menteri dilihat mencuba beberapa menu yang disediakan di kafeteria itu, antaranya ikan keli sambal, sayur dan ikan goreng. Menu Siswa Rahmah adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan sajian pada harga serendah RM3.50, yang ditawarkan di 20 universiti awam (UA) dan politeknik di seluruh negara.
Beliau yang diiringi oleh Timbalan Menteri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman dan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak kemudiannya menunaikan solat Jumaat di Masjid UKM bersama kira-kira 3,000 jemaah yang terdiri dari warga UKM dan penduduk setempat.
Dato’ Seri Anwar yang lengkap berbaju Melayu berwarna kuning cair mendengar khutbah bertajuk “Ekstremis Agama” yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Dr. Hamidi Ishak.
Selepas menunaikan solat Jumaat, beliau meluangkan masa bersalaman dengan jemaah yang hadir, sebelum beredar. Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT; Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT; Dr. Mohd Zabri Yusoff, Ahli-ahli Lembaga Pengarah UKM, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dato’ Pendaftar, Bendahari, dan Pro-pro Naib Canselor UKM.