Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 22 September 2023 – Ahli senat perlu sentiasa cakna dengan perubahan dan keperluan semasa serta proaktif dalam mengambil tindakan bagi memastikan ukm sentiasa kekal releven dalam mendokong citra pendidikan tinggi negara.
Menurut Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, keahlian dalam senat ini adalah satu keistimewaan dan eksklusif kerana senat universiti adalah badan berkuasa tertinggi dan bertanggungjawab ke atas arahan am serta perkara dasar berkaitan universiti secara holistik.
“Senat bukan sahaja menjadi perancang dan pemangkin kepada perkara yang membabitkan akademik dan penyelidikan semata-mata, tetapi juga melihat secara tidak langsung program pembinaan sahsiah pelajar dari segi kepimpinan, kemenjadian, akhlak dan adab pelajar.
“Senat perlu bergerak ke depan dengan pendekatan holistik dan multidisiplin dalam merangka program prasiswazah, pascasiswah, penyelidikan dan penerbitan dengan menjadikan disliplin falsafah, agama dan sejarah sebagai antara disiplin teras untuk kajian pelbagai bidang.
“Pendekatan multidisiplin ini perlu mendapat garapan yang lebih jelas dan meluas dalam era pengurusan terkini, bagi memastikan pencapaian lima teras ukm yang dijadikan asas gerak kerja ukm iaitu bakat, etika, memperkasa, tangkas dan jiwa prihatin,” katanya di Majlis Penghargaan Ahli Senat UKM.
Beliau berharap agar majlis ini dapat dijadikan medium penting dalam melakukan penilaian keberkesanan peranan senat dalam mendapatkan sumbangan fikiran daripada pemegang berkepentingan dalam tiga cabang utama iaitu akademik, penyelidikan dan pelajar.
“Semoga semua ahli senat dapat menjalankan tugas masing-masing dengan penuh dedikasi dari menjadikan universiti watan ini dihormati dan disegani diperingkat negara dan dunia,” katanya.
Majlis anjuran Jabatan Pendaftar dengan kerjasama Pusat Pengurusan Akademik ini adalah yang julung kali diadakan untuk memberi penghargaan kepada ahli Senat sebagai barisan urus tadbir akademik tertinggi di Universiti.
Pada majlis ini, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak diiringi oleh Dato’ Naib Canselor dan Pendaftar, merangkap Pengerusi Majlis Penghargaan Ahli Senat UKM 2023, Dato’ Dr. Syed Kamarudin Sadakkuthulla, menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli Senat 2020-2023.