Oleh Ayu Maisarah Lutas Asril dan Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 1 Disember 2023 – Penerima Anugerah Tun Razak, Sharifah Umairah Syed Mustaffa merupakan seorang orator berbakat yang membolehkan beliau untuk mewakili Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam pelbagai pertandingan debat sejak tahun 2021.
Petah berbicara sambil menyatakan membaca buku sebagai hobi di masa terluang,Sharifah Umairah berpendapat bahawa amalan membaca dapat mengubah pemikiran dan persepsi seseorang terhadap masyarakat dan isu.
“Dengan membaca, kita dapat memahami kepentingan ilmu serta mencintainya, serta mempunyai tujuan dan pegangan prinsip yang jelas dalam setiap apa yang dilakukan untuk diri sendiri dan memikirkan usaha pencerahan untuk masyarakat di sekeliling.
“Sebagai seorang pelajar jurusan Sains Politik, pengetahuan dalam bidang politik banyak membantu saya dalam pertandingan debat.
“Setiap pertandingan debat mempunyai usul berlainan seperti perpaduan, alam sekitar dan sebagainya. Namun, setiap usul mesti berkait rapat dengan politik yang melibatkan pembuatan polisi dan dasar,” katanya.
Beliau telah menyertai 16 pertandingan debat sepanjang pengajiannya dan membawa pulang kemenangan berturut-turut iaitu Juara Debat MB Selangor, Debat Menteri Perpaduan, Pertandingan Piala Debat Astar, Naib Johan Pertandingan Debat Diraja dan Debat Piala SPRM.
Selain daripada cemerlang anugerah dekan pada setiap semester, Umairah juga ialah seorang graduan yang aktif dan banyak terlibat dalam menganjurkan program berkaitan aspek pendemokrasian, pembuatan dasar dan kesukarelawanan seperti Seminar Dasar Awam, Seminar Belia SDG, Eksplorasi Watan dan pelbagai lagi.
Sharifah Umairah juga menyampaikan hasratnya untuk bekerja dalam bidang yang sama untuk mendapatkan pengalaman terlebih dahulu sebelum menyambung belajar ke peringkat sarjana dan kedoktoran.