Oleh Nur Adriana Norahim
Foto oleh Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 23 November 2024 – Penerima Anugerah Emas Kedoktoran, Dr. Nor Hafizah Ibrahim menjalankan kajian bagi menangani tingkah laku kerja tidak produktif (counterproductive work behaviour) menggunakan pendekatan Kansei Engineering atau kejuruteraan emosi.
Dalam kajiannya, Nor Hafizah menggunakan pendekatan mix method untuk memahami bagaimana faktor seperti emosi negatif, beban kerja dan hubungan di tempat kerja mempengaruhi tingkah laku kerja.
“Salah satu dapatan daripada penyelidikan ini ialah pembangunan IKE Apps, sebuah aplikasi digital yang membantu pekerja mengenal pasti dan mengurus emosi mereka dengan lebih efektif.
“Aplikasi ini memberikan alat penting kepada organisasi untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja sambil meminimumkan tingkah laku yang boleh menjejaskan produktiviti,” katanya.
Nor Hafizah turut mengintegrasikan elemen religiositi atau keagamaan sebagai salah satu mekanisme untuk mengawal emosi dengan baik dalam kajiannya.
“Unsur keagamaan menekankan kepentingan kawalan emosi dari aspek kognitif, iaitu bagaimana kita bermuhasabah diri, bagaimana kita melihat sesuatu perkara, terutama apabila berhadapan dengan situasi negatif.
“Jika kita mampu memandang sesuatu perkara dari sudut positif, seperti yang diajarkan dalam Islam atau agama lain secara umumnya, ia boleh menjadi panduan yang berkesan.
“Apabila konsep ini diaplikasikan dengan betul, ia dapat digunakan sebagai mekanisme untuk mengawal emosi dan tindakan kita. InsyaAllah, ini dapat membantu meningkatkan produktiviti di tempat kerja,” katanya.
Sebaliknya, tanpa kawalan emosi yang baik, individu berisiko terjebak dalam tingkah laku yang tidak produktif.
“Antara contoh tingkah laku yang tidak produktif adalah tidak mahu bekerjasama dalam pasukan, mengambil cuti sakit tanpa alasan yang kukuh, bergosip di tempat kerja, atau melayari internet untuk perkara yang tidak berkaitan dengan tugas dalam waktu bekerja,” jelasnya.
Berasal dari keluarga nelayan di Tanjung Karang, Nor Hafizah merupakan anak keenam daripada sembilan adik-beradik.
Kehilangan bapanya pada tahun 2014 menjadi titik tolak untuk beliau mengejar pendidikan tinggi.
“Abah selalu cakap dengan saya, belajar tinggi-tinggi,” katanya.
Walaupun diuji dengan masalah kesihatan tulang belakang, beliau tidak pernah berputus asa. Pandemik COVID-19, yang memaksa kelas dijalankan secara dalam talian, menjadi rahmat tersembunyi yang memudahkannya menguruskan pelajaran dan kesihatan.
“Saya percaya usaha, doa dan tawakal adalah kunci kejayaan. Dalam usaha, penting untuk mempunyai strategi dan kaedah yang betul. Jangan terlalu membesarkan cabaran hingga melupakan tanggungjawab terhadap orang sekeliling,” katanya.